Semai sikap cintakan kampung

Semai sikap cintakan kampung

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Okt – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang pagi tadi telah menganjurkan Al-Hijrah Kampungku bagi tahun 2016 iaitu sebuah program 3K yang menjurus kepada Kesejahteraan, Keceriaan dan Keindahan Kampung bersempena Tahun Baru Hijrah 1438.

Hampir 100 orang yang terdiri daripada ahli-ahli MPK, dari agensi-agensi kerajaan, pengawasan kejiranan kampung, Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) dan penduduk Kampung Kiudang Mungkom telah menyertai acara berkenaan.

Acara yang dimulakan di kawasan Gerai Muafakat Kampung Kiudang itu diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohd Saiful bin Abdullah Anja selaku Pengerusi Program Al-Hijrah Kampungku.

Dalam ucapannya itu, beliau menjelaskan bahawa tujuan dan matlamat program ini dianjurkan adalah untuk mengekalkan serta meningkatkan kesejahteraan, keceriaan dan keindahan kampung.

Program diadakan sebagai satu inisiatif menyatupadukan masyarakat kampung melalui program yang memberi kesan yang positif kepada perubahan minda dan mewujudkan generasi yang aktif, progresif dan berdaya tahan.

Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman merasmikan acara Program Al-Hijrah Kampungku.
Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman merasmikan acara Program Al-Hijrah Kampungku.
Orang ramai yang menyertai program berkenaan berjalan sambil membersihkan kawasan di jalan-jalan Kampung Kiudang.
Orang ramai yang menyertai program berkenaan berjalan sambil membersihkan kawasan di jalan-jalan Kampung Kiudang.

Di samping itu, program juga diharap mampu menyemai sikap cintakan kampung serta melahirkan sebuah masyarakat yang kuat sebagai penggerak pelbagai aktiviti bagi meningkatkan keupayaan sebagai sebuah kampung yang cemerlang.

Acara diteruskan dengan pelancaran Al-Hijrah Kampungku Tahun 2016 dengan menandatangani sebuah Poster Al-Hijrah Kampungku oleh tetamu kehormat, Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking dan isteri.

Antara aktiviti yang disusun menjurus kepada aspek-aspek kesihatan, kebersihan dan kemasyarakatan yang menjadi penerapan utama ke arah mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Acara diteruskan lagi dengan senamrobik dan berjalan santai sejauh 3.5 kilometer bermula dari Gerai Muafakat sambil melakukan kerja-kerja kebersihan seperti mengutip sampah sarap, memotong rumput dan membersihkan longkang-longkang di sepanjang jalan-jalan yang dilalui iaitu Jalan Kuala Abang, Jalan Kecil Mungkom dan Jalan Kecil Kiudang.

Mereka juga berkesempatan singgah di salah sebuah rumah penduduk kampung, Hajah Intan binti Abdullah Agal, bagi aktiviti riadah dan berdudun sebelum meneruskan aktiviti jalan santai yang berakhir di Kawasan Gerai Muafakat Kampung Kiudang.

Turut menyertai acara tersebut ialah Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah Yakin dan Penasihat MPK Kiudang, Haji Umarali bin Esong.

Kampung Kiudang telah pun melalui proses kemajuan dan memperoleh beberapa pengiktirafan, termasuklah Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) peringkat kebangsaan pada tahun 2013 dan terpilih sebagai Tapak Ekopelancongan Berasaskan Komuniti sempena persidangan BIMP-EAGA di Negara Brunei Darussalam bagi peringkat Asia Tenggara pada tahun 2015.

Di samping itu, Kampung Kiudang juga kerap dikunjungi oleh pelawat yang terdiri daripada para delegasi luar negara, para pelancong, para pelajar serta penuntut tempatan dan luar negara.

Penghasilan dan kemajuan Produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) kampung berkenaan adalah Teh Herba 3MPK, pakej-pakej lawatan melalui produk perkhidmatan ekopelancongan dengan mengetengahkan tempat-tempat yang menarik di Kampung Kiudang serta kemajuan sektor perladangan seperti Ladang Kemajuan Pertanian Luar Bandar Bukit Tabalu dan Mariuk.

Program Al-Hijrah Kampungku merupakan lambaran baru dan penghijrahan sikap masyarakat kampung kepada yang lebih baik dan positif ke arah kemajuan Kampung Kiudang khususnya agar kecemerlangan ini akan terus dikekalkan dan dipertingkatkan sesuai dengan Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035.

ARTIKEL YANG SAMA