Semai sikap membaca, jaga alam sekitar

Semai sikap membaca, jaga alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Menyemai dan menggalakkan perasaan untuk mencintai dan menjaga alam sekitar dalam kehidupan seharian merupakan satu perkara yang mesti diterapkan dalam jiwa generasi muda sejak usia awal lagi.

Di samping itu, generasi muda juga perlu ditanamkan dengan minat membaca kerana melalui membaca, mereka meneroka dan menambah lagi pelbagai ilmu pengetahuan yang berguna.

Sehubungan itu, bersempena dengan Sambutan Hari Bumi dan Hari Buku Sedunia 2016, seluruh warga Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok bersama dengan Unit Kokurikulum sekolah, telah mengambil inisiatif bagi meraikan sambutan itu, di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Sambutan diisikan dengan pelbagai kegiatan dan projek dipertandingkan yang menggabungkan tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan mata pelajaran Lukisan dan Reka Bentuk mengikut darjah bermula dari Darjah Pra hingga Darjah 6.

Dalam pada itu, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang projek berkenaan telah disampaikan oleh Penolong Pengarah, Ketua Bahagian Pengurusan Prestasi Sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Awang Nudin bin Haji Mohammad.

Salah seorang pelajar menerima hadiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
Salah seorang pelajar menerima hadiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Selepas penyampaian hadiah, Awang Nudin bersama Pemangku Penolong Pengarah, Ketua Unit Kegiatan Luar Sekolah, JSS, Pengiran Othman bin Pengiran Karim; Pegawai Kanan Unit Profesional JSS, Awang Mohd Azwan bin Abdullah Lai serta pegawai-pegawai dari JSS; Pemangku Guru Besar, Dayang Sarimah binti Haji Mina; guru-guru serta kakitangan dan pelajar sekolah turut menanam sebanyak lapan anak pokok longan dalam kawasan sekolah berkenaan.

Menurut Dayang Sarimah, program itu dijalankan selama tiga minggu bermula dari 18 April dan berakhir pada 17 Mei.

Katanya, program itu dihasratkan untuk memberi pendidikan dan kefahaman bagaimana menjaga dan memelihara kehidupan di planet bumi, pengajaran secara praktikal tentang proses pertumbuhan pokok dan hubungannya dalam pembelajaran sains, menggalakkan minat membaca dalam kalangan murid.

ARTIKEL YANG SAMA