Semai sikap pentingkan kebersihan

Semai sikap pentingkan kebersihan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Penekanan sikap menjaga kebersihan amat perlu disemai dalam kalangan golongan muda terutama murid dan pelajar sekolah supaya sikap itu akan terus diamalkan sepanjang hayat.

Oleh itu, Program Minggu Kebersihan mampu untuk mendidik pelajar supaya mengamalkan kebersihan dan menjadikan mereka sebagai pelajar yang memiliki sifat pembersih serta sukakan kebersihan iaitu bertepatan dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan.

Ini dinyatakan oleh Pengetua Sekolah Arab Sungai Akar, Pengiran Hajah Radiah binti Pengiran Haji Mohd Tahir semasa Perasmian Minggu Kebersihan 2016 Sekolah Arab Sungai Akar yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Bangunan Sekolah PGGMB, hari ini.

Menurut beliau, jika amalan menjaga kebersihan dilaksanakan selalu, keadaan sekolah akan sentiasa nampak bersih dan selesa. Sebaliknya jika pelajar tidak mengamalkan sikap itu, maka mereka adalah tergolong dalam golongan pengotor yang tidak suka akan kebersihan.

Pengiran Hajah Radiah menyampaikan kata-kata nasihat sebelum merasmikan program berkenaan.
Pengiran Hajah Radiah menyampaikan kata-kata nasihat sebelum merasmikan program berkenaan.
Haji Norhisyam menyampaikan tema dan peralatan kepada ketua-ketua lorong yang dilantik.
Haji Norhisyam menyampaikan tema dan peralatan kepada ketua-ketua lorong yang dilantik.

“Di samping pelajar yang diarahkan untuk menanamkan dan mengamalkan kebersihan, pihak guru juga disarankan agar sentiasa menegur dan mengarahkan pelajar untuk mengutip sampah apabila nampak sampah berselerakan dan janganlah berat mulut untuk mengarahkan pelajar untuk mengutip sampah.”

Beliau juga menyatakan harapan titik permulaan kempen kebersihan itu akan menjadi satu usaha berterusan untuk menjaga kebersihan sekolah pada masa-masa akan datang dan bukan hanya pada hari kempen sahaja.

Pada majlis berkenaan, Timbalan Pengetua Pentadbiran Sekolah Arab Sungai Akar, Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor menyempurnakan penyampaian tema dan peralatan kepada ketua-ketua lorong yang dilantik.

Program Minggu Kebersihan itu merupakan kegiatan di bawah penyelarasan Sekolah Arab Sungai Akar di mana ia bermatlamat untuk memupuk semangat kecintaan terhadap sekolah dan menceriakan lagi kawasan sekolah.

Program yang membawa tema ‘Sekolah ku Kehidupan ku’ itu dihasratkan untuk menceriakan kawasan sekolah supaya ia dapat memberikan kesan suasana pembelajaran yang sihat, segar dan indah serta juga untuk menarik minat para pelajar untuk hadir ke sekolah berkenaan.

Ia dikendalikan selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 April dengan disertai oleh seramai 1,210 orang pelajar dengan guru dan pelajar dibahagikan mengikut kumpulan lorong masing-masing.

Walaupun program itu dilaksanakan selama tiga hari, namun penekanan sikap menjaga kebersihan kawasan sekolah itu terus diketengahkan dan dilaksanakan sepanjang tahun.

Program itu diharap dapat meningkatkan peratus kebersihan persekitaran sekolah daripada sebelumnya, memberi impak untuk menceriakan kawasan sekolah, memupuk sikap pelajar dan guru supaya mempunyai semangat yang tinggi dalam sama-sama menceriakan sekolah dan memupuk rasa tanggungjawab dalam diri pelajar supaya akan sentiasa mengambil berat mengenai kebersihan sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA