Semai sikap suka beramal

Semai sikap suka beramal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Sept – Sebagai salah satu projek mendedahkan para pelajar untuk sentiasa terlibat dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan, rombongan pelajar Sekolah St Angela, hari ini, telah mengunjungi Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Belait, Pusat Bahagia Eric Goh Kampung Pandan dan Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria.

Dalam kunjungan tersebut, yang disertai oleh lebih 60 orang pelajar Tahun 7, 9 dan 10, rombongan turut menyerahkan sumbangan berbentuk barangan yang boleh membantu kemudahan yang diperlukan oleh ketiga-tiga pusat berkenaan.

Sumbangan tersebut merupakan hasil daripada kutipan amal yang melibatkan sumbangan daripada para guru dan pelajar-pelajar sekolah itu dua minggu lalu.

Sejumlah $1,500 telah berjaya dikumpulkan dan daripada jumlah itu dibahagikan kepada tiga untuk dibelikan barangan yang diperlukan bagi kemudahan ketiga-tiga pusat yang dikunjungi.

Pelajar-pelajar Sekolah St Angela Seria, semasa berkunjung ke Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria.
Pelajar-pelajar Sekolah St Angela Seria, semasa berkunjung ke Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria.
Pelajar Sekolah St Angela semasa berkunjung ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam cawangan Belait dan menyampaikan sumbangan.
Pelajar Sekolah St Angela semasa berkunjung ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam cawangan Belait dan menyampaikan sumbangan.

Pada tahun lalu, pelajar-pelajar di sekolah itu juga telah melakukan projek kerja amal dan kemasyarakatan dengan mengadakan kempen membersihkan kawasan pantai dan mengunjungi Pusat Ehsan cawangan Belait.

Semasa kunjungan itu, para pelajar dan guru-guru sekolah tersebut turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan pelajar-pelajar yang ada di kedua-dua pusat dan beramah mesra dengan warga-warga emas di Rumah Orang-orang Tua di Seria.

Projek tersebut dihasratkan supaya akan dapat terus menyuntik semangat para pelajar untuk mempunyai sifat prihatin dan suka membantu masyarakat yang memerlukan, di samping menjadikan kunjungan sebagai salah satu pengalaman mereka untuk menyedari bahawa insan-insan istimewa perlu sentiasa diberikan perhatian dan kasih sayang oleh masyarakat umum.

ARTIKEL YANG SAMA