Semai ‘Usaha Tangga Kejayaan’

Semai ‘Usaha Tangga Kejayaan’

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Sept – Seramai 31 orang pelajar pra-vokasional yang berkeperluan khas Sekolah Menengah Perdana Wazir (SMPW) telah menghadiri Taklimat Motivasi bagi menyuntik semangat kepada mereka untuk mencapai kejayaan.

Taklimat motivasi bertajuk ‘Usaha Tangga Kejayaan’ telah disampaikan oleh Pegawai Pendidikan di Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Nor Alizulranee bin Ali Yusop.

Beliau yang cacat penglihatan mengongsikan pengalaman dengan pelajar-pelajar tentang perjalanan hidupnya menuju kejayaan, pelajaran hidup yang berharga dan juga sokongan yang diperolehi daripada keluarga dan masyarakat.

Taklimat anjuran Jabatan Pembelajaran Pra-Vokasional SMPW itu bertujuan sebagai pendedahan kepada para pelajar di samping aktiviti tahunan sebelum penggal akhir persekolahan.

Ketua Jabatan Pembelajaran Pra-Vokasional, Hajah Jamilah binti Haji Sulaiman meberitahu, pelajar mereka mempunyai kebolehan masing-masing, termasuklah dalam seni dan kraftangan, dan boleh menggunakan bakat itu untuk menghasilkan sesuatu yang berguna.

Penceramah sempat beramah mesra dengan kalangan pelajar pra-vokasional berkeperluan khas Sekolah Menengah Perdana Wazir.
Penceramah sempat beramah mesra dengan kalangan pelajar pra-vokasional berkeperluan khas Sekolah Menengah Perdana Wazir.

“Daripada kebolehan mereka itu juga, boleh dijadikan punca pendapatan untuk keperluan mereka sendiri bagi masa depan,” katanya, sambil menambah kalangan pelajar berkeperluan khas mereka juga ada yang berbakat dalam bidang lukisan, dan berharap kemahiran itu dapat digilap sehingga menjadikan mereka mampu menjadi artis suatu hari nanti.

Melalui taklimat motivasi itu juga diharap akan dapat meningkatkan lagi semangat pelajar berkenaan untuk membuat usaha sendiri dan tidak hanya bergantung kepada orang lain.

Turut hadir ialah kalangan ibu bapa pelajar yang turut berpeluang mengemukakan soalan dalam sesi soal jawab dan menyaksikan jualan mini galeri hasil seni dan kraftangan pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA