Semak keputusan peperiksaan melalui khidmat SMS

Semak keputusan peperiksaan melalui khidmat SMS

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Kementerian Pendidikan dengan inisiatif dan kerjasama daripada DST Communications Sdn Bhd (DST), Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel) akan menawarkan perkhidmatan penghantaran keputusan peperiksaan IGCSE, BC-GCE ‘O’, ‘AS’, & ‘A’ level bagi Okt/Nov 2015 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Para pelajar, ibu bapa atau penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan ini perlu mendaftar dalam talian menerusi laman portal Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau e-Darussalam di www.gov.bn.

Selain itu, mereka boleh mendaftar menerusi khidmat SMS dengan menaip MOE<jarak>REG<jarak>(KOD PUSAT)<jarak>(NOMBOR CALON)<jarak>(NOMBOR KAD PENGENALAN CALON) dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif.

Pelanggan boleh melanggan perkhidmatan ini bermula esok (19 Januari 2016).

Tiada bayaran akan dikenakan bagi pendaftaran menerusi laman web Kementerian Pendidikan atau menerusi SMS.

Kementerian Pendidikan, dalam kenyataannya hari ini, turut memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan menerusi SMS sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada Jabatan Peperiksaan untuk mengeluarkannya.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Peperiksaan akan mengeluarkan keputusan dalam dua fasa, dengan keputusan peperiksaan ‘AS’ dan ‘A’ level bagi Oktober/November 2015 akan dikeluarkan terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan peperiksaan IGCSE dan BC-GCE ‘O’ Level Oktober/November 2015 pada tarikh kemudian.

Pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak $3 bagi setiap SMS keputusan yang diterima.

Bagi maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan lanjut mengenai cara pendaftaran, bolehlah menghantar e-mel ke alamat mach@machbrunei.com.