Semak notis cukai Bandaran

Semak notis cukai Bandaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) memaklumkan bahawa jabatan berkenaan telah menghantar Notis Tuntutan Cukai Bangunan bagi Tahun 2016 kepada pemilik hartanah yang terletak dalam kawasan Lembaga Bandaran BSB.

Sehubungan itu, Jabatan Bandaran BSB, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyeru para pemilik hartanah berkenaan untuk membuat semakan tuntutan cukai bangunan bagi 2016.

Notis yang dikeluarkan itu merupakan pemberitahuan Tuntutan Cukai Bangunan Bagi Tahun 2016 bagi hartanah dalam kawasan Lembaga Bandaran BSB yang tidak dikecualikan daripada pembayaran cukai bangunan.

Sehubungan dengan itu, pembayaran boleh dibuat secara tunai, melalui kad kredit atau menggunakan cek atas nama Kerajaan Negara Brunei Darussalam di Tingkat 3, Bahagian Kewangan, Bangunan Jabatan Bandaran BSB, Jalan Perdana Menteri, BSB.

Notis juga menyatakan bahawa tindakan undang-undang akan diambil di bawah Akta Lembaga-lembaga Bandaran Penggal 57 jika gagal dalam melunaskan tuntutan cukai bangunan.

Di samping itu, notis itu turut menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik hartanah atau wakil untuk memberikan notis secara bertulis dengan seberapa segera kepada Jabatan Bandaran BSB apabila hartanah yang terletak dalam kawasan Lembaga Bandaran BSB, dijual atau dipindah milik, diroboh atau dibuka, telah dikosongkan bagi 30 hari berturut-turut atau lebih dan baru dibangunkan atau dibangunkan semula atau diperbesarkan atau setelah kosong didiami semula.

Pemilik hartanah atau wakil juga dikehendaki untuk memaklumkan sebarang perubahan kepada alamat persuratan.

Notis itu juga menyatakan bahawa apabila tuan punya mana-mana hartanah yang boleh dikenakan cukai di dalam kawasan Lembaga Bandaran BSB meninggal dunia, maka akan menjadi kewajipan orang yang menjadi tuan punya hartanah berkenaan secara waris atau sebaliknya untuk memberi notis mengenai hal berkenaan secara bertulis kepada Lembaga Bandaran BSB dalam tempoh setahun selepas kematian orang itu.

ARTIKEL YANG SAMA