Semak semula masalah jerebu

Semak semula masalah jerebu

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Negara anggota ASEAN perlu menyemak semula aktiviti keutamaan mereka dalam menangani masalah jerebu bagi menjadikan wilayah ASEAN bebas dari jerebu menjelang tahun 2020, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Merasmikan Mesyuarat Persidangan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan ke-12 (COP-12) di sini hari ini, beliau berkata sesetengah aktiviti tersebut tidak lagi diaktifkan buat beberapa ketika berikutan kekurangan sumber seperti:

Kerjasama teknikal bagi meningkat persediaan dan mengurangkan risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar; Pelaksanaan aktiviti untuk meningkatkan promosi pembakaran sifar dan amalan kawalan pembakaran; Mengadakan rundingan dan latihan simulasi bagi meningkat respons kecemasan bersama; Membina keupayaan bagi penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang.

Forum atau dialog berterusan dengan komuniti penyumbang antarabangsa dan lain-lain pemegang taruh untuk mempromosi pelaksanaan perjanjian pencemaran jerebu merentas sempadan; Meneroka perkongsian antarabangsa bagi memastikan kemapanan sokongan kewangan Dana Kawalan Jerebu Merentas Sempadan ASEAN dan; Penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN untuk menyelaras kerjasama dalam kalangan pelbagai pihak bagi menangani pencemaran jerebu.

Ahmad Zahid berkata perkara itu perlu menjadi keutamaan tinggi kepada negara anggota ASEAN untuk secara berkesan menangani masalah jerebu menerusi persediaan lebih baik bagi menghadapi keadaan cuaca buruk dalam tahun-tahun mendatang.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) beramah mesra dengan para delegasi ketika hadir merasmikan Mesyuarat COP ke-12. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) beramah mesra dengan para delegasi ketika hadir merasmikan Mesyuarat COP ke-12. – Bernama

“Mengambil tahun 2015 sebagai mercu tanda pengalaman paling buruk insiden jerebu di wilayah ini, kita perlu berwaspada dan mengambil tindakan konkrit terutama berkaitan usaha menghalang dan mengurangkan.

“Marilah kita jangan sekadar menggambarkan isu berkenaan, tetapi turut memfokuskan kepada penyelesaiannya dan menggalak antara satu sama lain dalam mencapai pelan kebangsaan kita dan sasaran menghapuskan masalah jerebu rentas sempadan,” kata Ahmad Zahid.

Timbalan perdana menteri mengakhiri ucapan dengan mengingatkan negara anggota ASEAN bahawa kompleksiti dan kepelbagaian masalah jerebu di wilayah ini tidak boleh diselesaikan oleh sebuah negara atau pertubuhan sahaja.

“Namun dengan bekerjasama menerusi perkongsian wawasan, kita boleh mencapai lebih banyak lagi,” katanya.

Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) ditubuhkan pada 2002 sebagai antara langkah penting ke arah pengurusan pencemaran udara di rantau ini bagi usaha menangani daripada berulangnya jerebu tahunan sejak 1997.

Susulan itu, satu kejayaan paling signifikan ASEAN ialah menandatangani perjanjian AATHP dalam kalangan semua negara anggota pada Januari 2015. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA