Semak semula undang-undang antikeganasan

Semak semula undang-undang antikeganasan

KAHERAH, 16 Julai – Mesir semalam bersetuju menyemak semula artikel kontroversi yang disebut sebagai undang-undang antikeganasan, mengancam pengamal media untuk dipenjarakan jika melaporkan berita berkaitan keganasan yang bertentangan dengan kenyataan rasmi.

Undang-undang berkenaan diluluskan 1 Julai lalu, mencetuskan tindak balas pengamal media Mesir selepas hukuman sekurang-kurangnya dua tahun penjara akan dikenakan jika menyiarkan maklumat palsu mengenai serangan pengganas yang bercanggah dengan kenyataan rasmi.

Kabinet Mesir pada Rabu bersetuju untuk menghapuskan ancaman penjara di bawah Perkara 33, tetapi menggantikannya dengan denda yang lebih berat, agensi berita MENA melaporkan.

“Kabinet bersetuju untuk menghapuskan hukuman penjara di bawah Perkara 33 dan menggantikannya dengan denda, bermula 200,000 kepada 500,000 pound Mesir,” menurut MENA, memetik jurucakap kerajaan, Hossam al -Qawish.

Tetapi seorang wartawan Mesir, Khaled al-Balchi, berkata semakan itu hanya mengundang ‘lebih banyak hukuman penjara’ berikutan denda yang jelas di luar kemampuan wartawan.

Beliau juga mengecam bahawa undang-undang itu digubal bertujuan menutup mulut suara pembangkang di negara ini.

Menteri Keadilan Mesir, Ahmed Al-zina berkata, artikel itu mula-mula diguna pakai susulan liputan media mengenai gelombang serangan jihad berdarah terhadap tentera di Semenanjung Sinai pada 1 Julai.

Pihak tentera berkata, 21 anggota tentera terbunuh dalam keganasan, tetapi agensi media melaporkan jumlah lebih tinggi dengan memetik sumber keselamatan yang tidak dinamakan. – AFP