Semakin jadi kenyataan

Semakin jadi kenyataan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Projek mega, Jambatan Temburong semakin direalisasikan pembinaannya apabila dua lagi perjanjian dimeterai hari ini dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di Berakas.

Penandatanganan kontrak bagi Pakej CC3 dan CC4 dimeterai antara pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan empat syarikat iaitu, Syarikat Daelim Industrial Co Ltd, Syarikat Swee Sdn Bhd, China State Construction Engineering Corporation Ltd serta Ocean Quarry Construction Sdn Bhd JV.

Mewakili kerajaan Baginda Sultan dalam majlis menandatangani perjanjian ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Awang Chua Pheng Keong dengan Presiden Daelim Industrial, Kim Dong Soo dan Pengerusi Swee Sdn Bhd, Toh Boon Choi. Manakala China State Construction Engineering diwakili oleh Pengarah Urusan Sun Lixin dan Pengerusi

Ocean Quarry & Construction Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Junaidi bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyaksikan majlis menandatangani Pakej CC3.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyaksikan majlis menandatangani Pakej CC3.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai selepas majlis pemeteraian kontrak  Pakej CC3 dan CC4 pembinaan Jambatan Temburong kelmarin .
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai selepas majlis pemeteraian kontrak Pakej CC3 dan CC4 pembinaan Jambatan Temburong kelmarin .
Tetamu kehormat menyaksikan pameran.
Tetamu kehormat menyaksikan pameran.

pg04_150911_c

Hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak itu ialah Menteri Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Bagi Pakej CC3 (jambatan navigasi), pembinaannya akan dikendalikan oleh Daelim Industrial Co Ltd dengan usaha sama Swee Sdn Bhd JV manakala bagi Pakej CC4 (jejambat Temburong) akan dikendalikan oleh China State Construction Engineering Corporation (CSCEC) Ltd bersama Ocean Quarry Construction Sdn Bhd JV.

Projek Jambatan Temburong secara keseluruhannya merangkumi lebuh raya jalan berkembar dengan jarak keseluruhan dianggarkan 30km antara Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei-Muara dan Jalan Labu di Daerah Temburong. Pembinaannya akan dilaksanakan di bawah beberapa siri pakej kontrak pembinaan.

Pakej pembinaan pertama, CC2 (jejambat marin) yang merangkumi pembinaan 13.4km jambatan peringkat rendah atau jejambat merentasi Teluk Brunei dan pada masa ini sedang dijalankan oleh syarikat usaha sama Daelim/Swee, selepas penganugerahan dan penandatanganan kontrak yang diadakan dalam Februari 2015.

Menurut Haji Marzuke, projek Pakej CC3 dijangka mengambil masa 39 bulan dan siap dalam Februari 2019 yang mengandungi beberapa skop antaranya termasuklah pembinaan kabel pilon jambatan tunggal dengan menara setinggi 110 meter dari aras laut dan dua rentang setinggi 145 meter bagi setiap selat Brunei dan bahagian jambatan ini juga mempunyai tahap pelepasan pandu arah 22.6 meter.

“Tiang kabel berkembar dengan sebuah menara setinggi 112 meter daripada aras laut dan rentang utama 260 meter manakala belakang rentang 130 meter bagi setiap satu di selat timur di mana bagi bahagian jambatan ini, ia mempunyai tahap pelepasan pandu arah 32.6 meter,” tambahnya.

Kontrak CC3 ini melibatkan pembinaan dua pelayaran jambatan kabel antara Kota Batu dan Tanjung Kerasek yang menghubungkan jambatan marin dan persimpangan.

Manakala kontrak pembinaan CC4 mengambil masa selama 42 bulan dan dijangka siap pada Mac 2019 dan beberapa skop di bawah CC4 ini antaranya melibatkan pembinaan kira-kira 11.8 kilometer dari jambatan merentasi sebelah Temburong di kawasan paya bakau dari Tanjung Kerasek ke Labu, Temburong. Ia juga akan melintasi Sungai Labi dan persimpangan di Jalan Puni-Labu di Daerah Temburong.

Beliau seterusnya menjelaskan dengan bermulanya pakej-pakej ini dan kontrak Pakej CC2 yang sedang berlangsung, pelbagai aktiviti marin ke Teluk Brunei dan kawasan sekitarnya akan sibuk dengan kegiatan pembinaan, pengangkutan bahan-bahan dan pekerja dengan tongkang, kapal, kren terapung, melancarkan gantri serta peralatan lain.

Dalam perkara ini, beliau turut mengingatkan orang ramai terutama pengusaha bot dan nelayan untuk lebih berhati-hati semasa beroperasi di perairan Teluk Brunei.

Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyaksikan tayangan video seterusnya menyaksikan pameran mengenai pakej yang baru dimeterai.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan kontrak bagi kedua-dua pakej itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China dan Republik Korea ke Brunei Darussalam, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, penghulu dan ketua kampung.

Sehubungan itu, semua pihak yang berkepentingan akan dimaklumkan mengenai kerja-kerja di kawasan yang terlibat dan memastikan semua langkah keselamatan dan langkah berjaga-jaga disediakan dan dikekalkan.