Semangat Arse...

Semangat Arsenal ‘luntur’

MUNICH, 16 Feb – Pengurus Arsenal Arsene Wenger mengakui semangat pasukannya ‘luntur’ selepas dibelasah 5-1 Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pengurus dari Perancis itu berkata, tidak ada lagi alasan buat The Gunners tatkala mereka kini berdepan penyingkiran kali ketujuh berturut-turut daripada pusingan 16 terakhir susulan kekalahan memalukan itu.

“Kami melepaskan gol kedua dan paling penting kami kehilangan Laurent Koscielny (kerana kecederaan). Semangat kami runtuh,” kata Wenger yang masa depannya tidak menentu ketika ini.

“Saya tidak mahu memberi sebarang alasan. Secara keseluruhan saya akur mereka sebuah pasukan lebih baik berbanding kami, mereka bermain baik daripada kami di babak kedua.

“Mereka lebih baik berbanding kami, syabas kepada Bayern. Gol ketiga mereka membunuh kami – kami seperti ‘mati kutu’ selepas jaringan terbabit.”

KAMU SEMUA TAK MAKAN KAH?...Coquelin (kiri) dan Wenger bercakap sesuatu semasa perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern di Munich, kelmarin. – AFP
KAMU SEMUA TAK MAKAN KAH?…Coquelin (kiri) dan Wenger bercakap sesuatu semasa perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern di Munich, kelmarin. – AFP

Arjen Robben membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 di Allianz Arena apabila pemain sayap Belanda itu menewaskan penjaga gol Arsenal David Ospina dengan percubaan kaki kiri yang kemas ke penjuru gawang.

Penyerang sensasi Chile, Alexis Sanchez menyamakan kedudukan sebaik setengah jam aksi dengan menyambar bola muntah selepas penalti kontroversinya ditampan Manuel Neuer.

Tetapi Robert Lewandowski kembali meletakkan juara Jerman itu di depan pada minit ke-53, menerusi tandukan bola hantaran Philipp Lahm dengan Thiago Alcantara menambah gol ketiga, tiga minit kemudian.

Thiago menambah kesengsaraan Wenger dengan jaringan keduanya dan keempat Bayern selepas sejam permainan sebelum Thomas Muller melengkapkan kemenangan bergaya itu tatkala aksi berbaki dua minit.

Keputusan itu turut menyaksikan Bayern memanjangkan rekod kemenangan di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara kepada 16 perlawanan.

Gergasi Jerman itu sebelum ini menyingkirkan Arsenal pada peringkat sama pada 2005, 2013 serta 2014 dan kelihatan selesa untuk mengecewakan The Gunners kali ini. – AFP