Semangat berlumba untuk Bianchi

Semangat berlumba untuk Bianchi

BUDAPEST, 24 Julai – Pelumba skuad Formula Satu (F1) Mercedes, Nico Rosberg bertekad dan pada masa sama menggesa rakan-rakan pemandu daripada skuad lain mengharungi saingan Grand Prix (GP) Hungary pada hujung minggu ini dengan penuh bersemangat sebagai tanda penghormatan mereka terhadap Jules Bianchi.

“Minggu ini dipenuhi dengan emosi. Para pelumba telah memberikan penghormatan terakhir dan mengucapkan selamat tinggal kepada Bianchi. Mendiang merupakan pemandu yang sangat berbakat dan amat baik. Fikiran serta ingatan saya dalam tempoh beberapa hari ini sentiasa bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Semua orang berkongsi perasan yang sama meskipun sibuk bekerja di litar pada sepanjang minggu ini. Walaupun sedih, kami semua perlu meneruskan tugas sebagai pelumba dan melakukannya de­ngan bersungguh-sungguh se­perti yang selalu dilakukan Bianchi,” ujar Rosberg. Pada kira-kira sembilan bulan lalu, Bianchi yang memandu jentera skuad Marussia mengalami ce­dera parah di bahagian kepala selepas merempuh jentolak yang sedang me­ngalihkan jentera pemandu lain yang terbabas ketika saingan GP Jepun di Litar Suzuka.

Selepas sembilan bulan bertarung nyawa, Bianchi akhirnya menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Nice, Perancis. Sehubungan itu, Rosberg yang menamatkan saingan GP Britain di tempat kedua pada tiga mi­nggu lalu kini melancarkan misi merampas semula gelaran juara di Hungary.

Rosberg berharap dapat menyumbang keputusan positif kepada Mercedes pada aksi perlumbaan minggu ini selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat ketika edisi tahun lalu.

“GP Hungary adalah seperti perlumbaan ter­akhir sebelum kami dapat berehat lama. Saya akan lakukan seperti biasa supaya dapat menyumbangkan sesuatu yang positif untuk dikenang pada masa cuti nanti. “Keadaan litar ini agak sukar kerana sempit, ba­nyak selekoh bahaya dan panas. Keputusan perlumbaan tahun lepas (di Hungary) agak teruk dan saya mahu bawa pulang keputusan yang lebih baik pada kali ini,” tambah Rosberg. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA