Semangat ‘Ittihad’ kekalkan keamanan

Semangat ‘Ittihad’ kekalkan keamanan

SANDAKAN, 24 Jun (Bernama) – Komuniti di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diajak supaya terus mengamalkan semangat Ittihad (Bersatu) dan bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk memastikan kawasan itu sentiasa aman dan tenteram.

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi berkata ia penting kerana agensi itu bukan sahaja berdepan dengan musuh yang datang dari luar tetapi juga dari dalam, khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya komuniti Esszone perlu menyedari dan menerima hakikat keadaan yang unik itu, dan tidak seharusnya menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya menguatkan tekad untuk sama-sama berusaha gigih membantu Esscom menjayakan wawasan dan harapan kerajaan yang mahu melihat keadaan keselamatan di Esszone sentiasa terpelihara.

Berucap pada Majlis Al Falaq anjuran Esscom di Masjid Nur Muhammad di Dandulit dekat sini malam tadi, beliau berkata setiap kali berlaku jenayah rentas sempadan, termasuk penculikan di Esszone, anggota Esscom menjadi sasaran tohmahan dan tuduhan melulu oleh pihak tertentu.

“Namun mereka tidak sedar Esscom berjaya mengekang sekurang-kurangnya enam cubaan menculik sebelum berlakunya insiden di Restoran Ocean King di Sandakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi.
Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi.

Insiden penculikan di Restoran Ocean King yang didalangi orang dalam yang sudah berada di Sabah atau PATI seharusnya menjadi pengajaran untuk semua tentang pentingnya rakyat bersatu untuk menangani ancaman ini,” katanya.

Ruji turut memperjelaskan rasional di sebalik operasi bersepadu yang kini giat dilaksanakan di enam daerah Esszone ialah Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Beliau berkata operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Esscom melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa negeri dan persekutuan itu bukan bertujuan menganiaya atau menyusahkan mana-mana pihak, termasuk komuniti peniaga, sebaliknya bermatlamat membersihkan Esszone daripada PATI dan aktiviti penyeludupan.

Katanya langkah drastik itu merupakan susulan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai PATI di Sabah (RCI) dan arahan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Esszone supaya operasi besar-besaran bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini dilancarkan. “Majoriti rakyat menyokong operasi bersepadu ini yang menurut mereka memberi harapan baharu kepada Sabah yang selama ini bergelut dengan masalah PATI yang tidak berkesudahan.

“Marilah kita bersatu merealisasikan misi murni kerajaan ini,” kata Ruji.