Semangat juang Foxes dipuji Ranieri

Semangat juang Foxes dipuji Ranieri

LONDON, 9 Nov (AFP) – Pengurus Leicester Claudio Ranieri memuji semangat juang pasukannya ketika penyerang Jamie Vardy meningkatkan jumlah jaringan apabila menang 2-1 ke atas Watford dalam kempen Liga Perdana, kelmarin.

Sebelum perlawanan tamat, Vardy dilihat tidak mungkin dapat menambah koleksi jaringan dengan Leicester mendahului 1-0 hasil gol N’Golo Kante di babak kedua tetapi keadaan itu berubah selepas penjaga gol Watford Heurelho Gomes menjatuhkan penyerang itu dalam kotak penalti pada hujung perlawanan.

Riyad Mahrez yang selama ini sering mengambil sepakan penalti untuk Leicester, memberikan peluang itu kepada Vardy dan pemain kebangsaan England itu tidak melakukan sebarang kesilapan ketika mengatasi Gomes.

“Kami mempunyai semangat sepasukan cukup tinggi dan pemain kami pula beraksi sebagai satu unit,” kata Ranieri.

“Jamie Vardy mahu menjaringkan gol dan Riyad Mahrez memberikan peluang itu kepadanya. Ia satu senario yang bagus,” kata pengendali Itali itu.

“Anda tahu penyerang perlu menjaringkan gol. Ada kalanya, mereka tidak menjaringkan gol pada tiga, empat atau lima perlawanan dan secara tiba-tiba, mereka kembali menjaringkan gol.