Semangat juang ibu inspirasi kejayaan dua beradik

Oleh Lenna N.B.

 

SEBUAH syarikat perniagaan pengeluaran biskut, Eman Enterprise diusahakan oleh dua adik-beradik, Dayang Nur Imanina binti Haji Sazali, 29, dan Dayang Amira Tsaqila binti Haji Sazali, 23. Syarikat ini juga antara salah satu syarikat yang ikut serta dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-14 yang kini sedang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Nanning, China.

Dalam menelusuri sejarah permulaannya, Syarikat Eman Enterprise mempunyai perjalanan hampir 30 tahun yang bermula dari usaha ibu mereka yang bersusah-payah dan berhempas-pulas mencari rezeki untuk menanggung dan menambah perbelanjaan keluarga.

Bagi, Dayang Nur Imanina, ibu mereka adalah seorang yang sangat kental dan menjadi sumber inspirasi selaku wanita yang berjaya.

Semangat juang ibu

“Ibu sudah mula berniaga sekitar penghujung tahun 1980-an. Bermula dari kecil-kecilan, berkembang kepada syarikat perniagaan. Dulu, selain biskut, ibu turut membuat pelbagai jenis kek. Namun, oleh kerana biskut mendapat permintaan yang lebih tinggi, kini kami lebih menumpukan kepada pengeluaran produk biskut,” jelas Dayang Amira.

Baginda Sultan dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai bersama usahawan Eman Enterprise.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mendengar sembah penerangan daripada Zureen Jaya, ibu kepada Dayang Nur Imanina dan Amira mengenai latar syarikat Eman Enterprise ketika Baginda bercemar duli ke CAEXPO, baru-baru ini.

Menurut beliau, ibunya adalah seorang ibu tunggal. Dalam melalui kesukaran dan cabaran ketika membesarkan mereka bersendirian, ibunya ternyata mempunyai semangat juang yang tidak berputus asa. Bekerja siang dan malam, kadang-kala tidak tidur hingga ke subuh untuk memenuhi tempahan pelanggan.

“Sebenarnya dari ibu, kami banyak belajar erti sabar dan tabah. Demi masa depan kami, dia mempunyai kekuatan untuk berniaga, mencari pendapatan sampingan selain bekerja di siang hari. Kini, semangat juang ibu, menjadi pembakar semangat kami,” tambah Dayang Nur Imanina yang telah menyaksikan jerih payah ibunya sejak kecil lagi.

Memasuki pasaran tanahair

Sebelum penubuhan syarikat, produk-produk biskut keluarga ini, sudah pun memasuki pasaran tanahair kira-kira sejak 10 tahun yang lalu, antaranya adalah pasar raya Hua Ho, diikuti dengan pasar raya Supa Save, Soon Lee Lambak, Orbit, TM Majeed dan sebagainya.

“Saya masih ingat, dulu ibu hanya menggunakan penyimpanan seperti kontena soto di pasaraya-pasaraya, kini kami sudah mempunyai pembungkusan yang lebih berkualiti, dan standard.

Oleh kerana lebih 10 tahun sudah kami menghantar produk kami di pasaraya, maka lebih mudah produk kami diterima dan dipasarkan,” jelas Dayang Nur Imanina.

Selain di pasaran tanahair, terdapat juga tempahan secara peribadi melalui pelanggan-pelanggan, terutama sempena Hari Raya, upacara atau majlis tertentu, Tahun Baru Cina, dan sebagainya. Ringkasnya, hasil tangan perniagaan ibu mereka sudah cukup dikenali dan diketahui sebelum ia didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah syarikat.

Penubuhan syarikat

Pada tahun 2009, Dayang Nur Imanina dan Dayang Amira, bersama ibu mereka telah menubuhkan syarikat di bawah nama ‘Eman Enterprise’ yang kini mengeluarkan lebih dari 20 jenis produk biskut.

Dayang Amira Tsaqila binti Haji Sazali,pengusaha bersama Eman Enterprise.
Dayang Nur Imanina binti Haji Sazali, pengusaha bersama Eman Enterprise.
Usahawan dua adik-beradik di sebalik Eman Enterprise.
Proses di sebalik pembuatan biskut.
Dayang Amira bersama ibunya mewakili syarikat Eman Enterprise di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Nanning, China.

Selain memasarkan di pasaraya-pasaraya tanahair, produk Eman Enterprise juga menerima tempahan untuk cenderamata Majlis Perkahwinan, hamper-hamper yang mengandungi pelbagai jenis produk Eman Enterprise, dan sebagainya.

Sesetengah produk keluaran Eman Enterprise telah pun mendapat Logo Halal, yang membolehkan mereka bergerak lebih jauh selain dari dalam negara.

Eman Enterprise sebelum ini pernah menyertai ekspo dan pameran jualan di Malaysia, Korea, dan China.

Menurut Dayang Amira, tahun ini, adalah kali kedua mereka menyertai CAEXPO mewakili antara produk-produk Brunei, dan pada masa yang sama merebut peluang untuk mendapatkan sasaran pelanggan yang lebih meluas.

“Di pameran CAEXPO ini terutamanya, banyak klien-klien China berminat dengan produk kami. Sambutan sangatlah menggalakkan, tambahan lagi, produk-produk biskut yang kami bawa tidak ada dijual atau dipasarkan di negara mereka. Mereka sangat suka keunikan rasanya.”

Biskut klasik tetap disukai

Antara produk-produk keluaran Eman Enterprise adalah Makmor atau dikenali dalam Bahasa Brunei sebagai kuih Mor, biskut Nestum, biskut Kacang, biskut Kelapa Sari, biskut Sago, biskut Ubi Kentang, biskut Jagus, Tat Nenas, biskut Coklat Emas, biskut London Almond, dan banyak lagi, menggabungkan biskut tradisi dan moden, inovasi dari resepi asal ibu mereka, hinggalah resipi biskut yang diilhamkan oleh dua adik-beradik tersebut.

“Namun, antara jenis-jenis biskut tersebut, biskut Cerelac adalah produk paling laris, resipi asal ibu sejak mula berniaga lagi. Tidak ada langsung perubahan resipi, tetapi sehingga hari ini, ia tetap disukai ramai sama ada dari dalam negara atau ketika kami melakukan ekspo di luar negara.”

Menurut Dayang Nur Imanina, biskut Cerelac tersebut mempunyai kandungan yang sihat kerana diperbuat daripada bijirin. Malah, kanak-kanak berumur 1 tahun ke atas juga boleh menikmatinya.

Produk Eman Enterprise mendapat sambutan daripada pengunjung China.

Berjaga malam bersama ibu

Setiap usahawan, pasti ada waktu yang penuh mencabar. Bagi, dua adik-beradik tersebut, mereka masih ingat apabila ada pelanggan yang membuat tempahan secara tiba-tiba untuk acara tahlil setelah salah salah seorang ahli keluarga yang telahpun kembali Rahmatullah. Menurut pelangan tersebut, tempahan itu dilakukan kerana mengingati memori arwah ahli keluarga yang suka menikmati biskut Eman Enterprise ketika hayatnya.

“Demi menghargai pelanggan kami dan juga mengingati arwah ahli keluarganya, kami sanggup tidak tidur sehingga jam empat pagi, semata-mata untuk menyiapkan tempahan tersebut. Selama 12 jam kami bekerja tidak berhenti bersama ibu. Walaupun letih, kami berjaya juga menyiapkan tempahan tersebut bersama. Mungkin itulah detik termanis bagi kami,” cerita Dayang Amira tersenyum.

Secara keseluruhannya, tenaga kerja Eman Enterprise adalah seramai lima orang, terdiri daripada ahli keluarga mereka sendiri.

Malah, kini Eman Enterprise juga mempunyai kontrak tempahan daripada syarikat-syarikat besar tempatan.

Sebalik kejayaan syarikat tersebut, ternyata tercoret semangat cinta dan kasih antara perjuangan ibu dan jasa bakti anak-anak.

“Kami melihat ibu sebagai idola kami. Bagaimana dia berusaha dari tidak ada apa-apa hingga terhasilnya sesuatu. Kami adik-beradik seramai empat orang masing-masing mempunyai latar pendidikan yang tinggi, dan ada juga yang masih dalam pengajian.

“Ibu sehingga hari ini mempunyai dua kerja, dan pada waktu dia tidak berkerja, ibu akan bersama kami menjalankan perniagaan. Melihat semangat ibu dalam melakukan tiga kerja dalam satu masa, membuktikan dia seorang wanita bersemangat kental. Kata ibu, ‘tidak semua ibu tunggal tidak berjaya, hanya diri sendirilah menentukan nasib yang susah,’. Dari ibu, sejujurnya kami banyak belajar,” ucap dua adik-beradik tersebut di hujung temuramah.