Semangat kekal tinggi

Semangat kekal tinggi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Meskipun Pasukan Sepak Takraw Pantai Brunei Darussalam tidak berjaya mempertahankan kejuaraan dua tahun lalu di Thailand, namun pencapaian pemain perlu diberikan pujian kerana sebahagian besar daripada mereka tampil buat kali pertama dalam kejohanan peringkat antarabangsa di Da Nang, Vietnam, baru-baru ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Delegasi Brunei Darussalam di Kejohanan tersebut, Awang Kifli bin Haji Jaafar ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa  Brunei, Berakas semalam.

Menurutnya, kombinasi pemain baru dan lama dalam kejohanan kali ini sangat memberangsangkan apabila pasukan trio negara hampir melangkah ke peringkat akhir, namun saingan sengit sangat terasa daripada pasukan Indonesia dan terpaksa akur dengan pingat gangsa.

“Nasib yang sama kita alami dalam regu berkumpulan apabila sekali lagi Indonesia menjadi dalang dan penghalang kepada kemaraan kita dalam kejohanan kali ini,” ujarnya lagi sambil menambah bahawa pasukan negara bermain dengan empat orang pemain di dalam kedua-dua acara.

Gambar ramai pasukan negara setiba mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas. – Gambar Fadhil Yunos
Gambar ramai pasukan negara setiba mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas. – Gambar Fadhil Yunos

Beliau menambah, “Kita terlibat dalam 14 perlawanan yang pada saya sangat saya kagumi kerana mereka telah memperlihatkan semangat yang tinggi untuk membawa nama negara untuk meraih kejayaan dalam sukan kali ini.”

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pemain untuk menilai dan meneliti kesilapan dan kelemahan yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk memperbaiki dalam mana-mana kejohanan yang akan datang. Sementara itu ketua pasukan negara, Mohd Selamat bin Yakop  menegaskan, keletihan sangat dirasakan apabila mereka terpaksa bermain tanpa pemain simpanan apatah lagi tentangan hebat daripada pasukan lawan terpaksa dihadapi.

ARTIKEL YANG SAMA