Semangat kental DPMM FC

Semangat kental DPMM FC

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC menyatakan rasa berbesar hati kepada barisan pemain yang padanya menunjukkan semangat yang kental ketika berhadapan dengan Home United beberapa hari yang lalu.

Perkara itu ditegaskan oleh Steve Kean ketika temubual bersama media sejurus selepas perlawanan berkenaan di Stadium Jalan Besar pada peringkat separuh akhir Piala Liga Singapura 2016 kali ini.

“Kami mengambil positif kekalahan lalu untuk memperbaiki pasukan dan semua pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi baik di padang latihan untuk menjayakan setiap perancangan serangan mahupun pertahanan,” ujarnya.

Aksi penyerang Brunei DPMM FC, Adi Said ketika beraksi menentang Home United pada perlawanan separuh akhir Piala The New Paper 2016. – Gambar S. League
Aksi penyerang Brunei DPMM FC, Adi Said ketika beraksi menentang Home United pada perlawanan separuh akhir Piala The New Paper 2016. – Gambar S. League

Beliau mengakui selalunya pasukannya lebih menyerang dan para pemain menggalas peranan sebaik-baiknya dengan merombak pertahanan kepada tiga orang di samping mengatur beberapa serangan balas.

Beliau menurunkan Wardun Yussof, Awangku Fakharrazi, Brian McLean, Helmi Zembin, Yura Indera Putra, Najib Tarif, Maududi Helmi, Rosmin Kamis (Kapten), Hendra Azam, Adi Said, dan Rafael Ramazotti sebelum memasukkan Shahrazen Said pada minit ke-73 dan Azim Izamuddin pada minit ke-86.

Brunei DPMM FC akan menentang Pasukan Albirex Niigata (S) pada perlawanan akhir Piala The New Paper 2016 bagi menentukan juara Piala Liga tahun ini, sementara Pasukan Hougang United FC akan berhadapan dengan Pasukan Geylang International FC bagi menentukan tempat ketiga dan keempat pada hari yang sama di Stadium Jalan Besar di Kota Singapura.