Semangat Liverpool dipuji

Semangat Liverpool dipuji

LONDON, 7 Mac (AFP) – Semangat tinggi merupakan faktor utama di sebalik kebangkitan Liverpool apabila mengatasi Crystal Palace 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam tadi, ujar pengurus pasukannya, Jurgen Klopp.

Liverpool terlebih dulu ketinggalan hasil jaringan Joe Ledley pada minit ke-48 sebelum James Milner dibuang padang selepas dilayang kad kuning kedua.

Roberto Firmino kembali menyamakan kedudukan sebelum pemain gantian, Christian Benteke menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-96.

Klopp nyata memperjudikan nasib selepas kehilangan Milner apabila memasukkan Benteke bergandingan dengan Firmino di jentera serangan dan ia membuahkan hasil untuk kemenangan ketiga berturut-turut dalam liga.

“Kamu boleh cuba tetapi selebihnya adalah semangat,” kata pengurus dari Jerman itu. “Untuk bertahan, kamu sentiasa perlukan lebih banyak semangat berbanding formasi.

“Kami menukar formasi kepada 3-4-2 dan itu yang kami cuba tetapi ia sedikit berisiko. Dejan Lovren terpaksa beraksi di sebelah kanan dan tengah.

“Inilah bola sepak. Kamu membuat perancangan tetapi pemain melakukannya dengan baik. Saya tidak percaya apa perasaan sekarang dan ia detik hebat buat kami.”

ARTIKEL YANG SAMA