Semangat Sepanyol calar

Semangat Sepanyol calar

MADRID, 9 Jun – Cabaran pertama Sepanyol di Euro 2016 adalah bagaimana untuk melupakan kekecewaan tewas di laman sendiri pada perlawanan pemanas badan terakhir sebelum ke Paris.

Juara dua kali dan penyandang juara itu berkunjung ke Perancis, semalam dengan penuh keraguan selepas bergelut menentang negara di ranking ke-137 dunia, Georgia, pasukan yang tampak mustahil untuk layak ke Euro 2016.

Kekalahan 1-0 di Getafe meninggalkan pemain dan pengurus, Vicente Del Bosque mencari jawapan dan berusaha untuk melupakan luka itu secepat yang mungkin.

“Perlawanan itu adalah peluang yang baik untuk meningkat keyakinan kami dan mencipta suasana yang baik di sekitar pasukan kami,” kata Del Bosque selepas perlawanan tunggal yang disertai di Sepanyol sebelum berkunjung ke Perancis itu. “Begitupun, sebaliknya berlaku, ia adalah kekecewaan.”

Sepanyol menguasai perlawanan terbabit sejak awal permainan namun kesilapan pertahanan memberikan Georgia gol kemenangan sebelum rehat babak pertama.

Midfield Georgia Tornike Okriashvili (kanan) berjaya membolosi gawang David de Gea dalam aksi persahabatan menjelang Euro 2016 di Coliseum Alfonso Perez, Getafe kelmarin. – AFP
Midfield Georgia Tornike Okriashvili (kanan) berjaya membolosi gawang David de Gea dalam aksi persahabatan menjelang Euro 2016 di Coliseum Alfonso Perez, Getafe kelmarin. – AFP

Sekali pun tuan rumah melakukan asakan di sepanjang baki perlawanan, mereka gagal menyempurnakan peluang lantas mengecewakan penonton yang memenuhi Stadium Coliseum Alfonso Perez yang terletak di luar Madrid.

“Adalah normal untuk melepaskan gol, namun ia menjadi amat mengecewakan kerana kami juga tidak menjaringkan gol,” kata Del Bosque yang sebelum ini membuat keputusan tidak menyenaraikan dua penyerang veteran, Diego Costa dan Fernando Torres dalam skuadnya.

Kekalahan itu hadir kurang seminggu sebelum skuad diberi jolokan “La Roja” memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Eropah menentang Republik Czech, Isnin ini di Toulouse.

Pasukan itu tiba di kem latihan pasukan di Perancis, semalam di La Rochelle yang terletak di barat negara itu.

“Apa yang berlaku tidak memadam apa yang sudah kami lakukan sehingga kini,” kata Del Bosque mengulas kekalahan itu. “Kami sudah melakukan beberapa perkara yang baik. Saya tidak mahu menjadi pesimis.”

Dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini, Sepanyol menewaskan Bosnia 3-1 dan membelasah Korea Selatan, 6-1. – AP