Semangat waja tabur bakti

Semangat waja tabur bakti

Oleh Sim Y. H.

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Menjadi seorang pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) merupakan satu penghormatan yang tinggi kerana melalui latihan yang diberikan mampu untuk merubah seseorang menjadi lebih berkeyakinan, berwibawa dan berdisiplin tinggi.

Kerjaya seorang anggota tentera yang menabur bakti kepada negara tidak memilih jantina. Seseorang itu juga harus mempunyai semangat tinggi terhadap kerjaya itu kerana mereka bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran, yang mana keinginan dan semangat itu akan sentiasa memberikan dorongan untuk terus berhadapan dengan cabaran berkenaan.

Oleh itu, golongan belia yang berminat untuk menabur bakti kepada bangsa dan negara serta ingin untuk menceburi kerjaya yang mencabar, menjadi anggota ABDB merupakan satu pilihan yang tepat.

Ini dinyatakan oleh penerima Anugerah Pedang Kehormatan (Sword of Honour), Pegawai Kadet Auni ‘Afifah @ Yumni binti Haji Ali Hassan, dalam temu bual ringkas bersama Media Permata selepas Upacara Perbarisan Pentauliahan (Sovereign’s Parade) Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB Pengambilan ke-13 yang diadakan di Padang Kawad Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan ABDB di Perkhemahan Sungai Akar, kelmarin.

Pegawai Kadet Qurratu’aini Qayyimah serta keluarga mengabadikan kenangan bersama Duli Yang Teramat Mulia.
Pegawai Kadet Qurratu’aini Qayyimah serta keluarga mengabadikan kenangan bersama Duli Yang Teramat Mulia.
Pegawai Kadet Auni ‘Afifah @ Yumni serta keluarga tidak melepaskan peluang bergambar ramai bersama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Pegawai Kadet Auni ‘Afifah @ Yumni serta keluarga tidak melepaskan peluang bergambar ramai bersama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Beliau turut menyatakan perasaan gembira kerana dipilih untuk menerima anugerah itu serta amat teruja dengan penghormatan yang diberikan dan tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang penerima anugerah berprestij tersebut.

Sementara itu, penerima Anugerah Terbaik Akademik, Pegawai Kadet Qurratu’aini Qayyimah binti Dr. Al-Haj Zelzy, Tentera Laut Diraja Brunei, amat mengalu-alukan golongan wanita untuk memilih kerjaya sebagai anggota atau pegawai ABDB.

Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa golongan wanita yang memilih kerjaya itu harus memahami mengenai pengorbanan yang dilakukan, untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara tetapi pengorbanan itu adalah amat berbaloi.

Beliau turut menyatakan bahawa perkara yang penting adalah untuk mempunyai semangat kental dalam menghadapi cabaran serta untuk tidak berhenti meningkatkan keupayaan dan kemahiran diri melalui amalan pembelajaran sepanjang hayat, terutama pada masa ini di mana pelbagai ancaman sekuriti yang wujud.

ARTIKEL YANG SAMA