Semarak Dikir Maulud dengan laungan selawat

Semarak Dikir Maulud dengan laungan selawat

Oleh Anwar Rosly, Normazlina M.D & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Malam-malam menjelang Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W di negara ini terus bergema dengan laungan dikir yang dikendalikan oleh pelbagai pihak di negara ini termasuk rombongan kementerian-kementerian kerajaan yang mengadakan majlis dikir ke daerah-daerah.

Rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, meneruskan majlis dikir di Masjid Jamalul Alam Kuala Belait. Hadir sama-sama menyemarakkan acara tersebut ialah, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong bersama para pegawai dan kakitangan di bawah kementerian tersebut.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad yang juga Ketua Kampung Lumut I dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin selaku Ketua Kampung Mumong, Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohd Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait.

Acara telah dimulakan dengan Sembahyang Maghrib berjemaah yang diikuti dengan laungan dikir beramai-ramai yang diketuai oleh kumpulan dikir Jabatan Bomba dan Penyelamat, ahli-ahli Malis Perundingan Mukim Kuala Belait dan Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam, kemudian, diakhiri dengan sembahyang Isyak berjemaah dan Dikir Marhaban.

pg01_151119_a

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama para pegawai dan kakitangan di bawah kementerian berkenaan ketika berada di Masjid Jamalul Alam melaungkan bacaan Dikir Syarafil Anam.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama para pegawai dan kakitangan di bawah kementerian berkenaan ketika berada di Masjid Jamalul Alam melaungkan bacaan Dikir Syarafil Anam.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin turut hadir memeriahkan sambutan Dikir Maulud di Masjid Kampung Keriam.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin turut hadir memeriahkan sambutan Dikir Maulud di Masjid Kampung Keriam.

pg04_151119_e

Di Daerah Tutong, rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pula mengadakan majlis seumpamanya di Masjid Kampung Keriam sebelum meneruskannya ke Masjid Utama Mohd Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

Selain memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, majlis-majlis seumpamanya juga merupakan salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.

Selain itu, ia juga diharap dapat memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan agama Islam, dan memohon ganjaran istimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat.

Sementara itu, rombongan Kementerian Pendidikan yang diketuai oleh Pemangku Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, pula mengadakan majlis seumpamanya di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom dan Dr. Haji Junaidi ketika menghadiri Majlis Dikir Maulud di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom dan Dr. Haji Junaidi ketika menghadiri Majlis Dikir Maulud di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

SONY DSC

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan, para pegawai serta kakitangan Kementerian Pendidikan.

Majlis berdikir kali kedua ini merupakan aktiviti tahunan bagi Kementerian Pendidikan, dengan tahun ini dikendalikan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Bahagian Pengajian Tinggi. Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah yang diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom dan seterusnya bacaan Dikir Syarafil Anam.

Majlis berdikir ke masjid-masjid ini bertujuan untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan untuk terus berselawat dan memuji junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, di samping menunjukkan rasa kasih sayang terhadap jasa-jasa Baginda yang telah memancarkan cahaya dan roh Islam kepada umat Islam.

Rombongan Kementerian Pendidikan akan meneruskan lagi majlis berdikir di Masjid Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, pada 20 Disember ini.

Kumpulan Dikir Kampung Long Mayan turut mengadakan Dikir Maulud dan diselajurkan dengan bacaan Yasin dan doa tolak bala.
Kumpulan Dikir Kampung Long Mayan turut mengadakan Dikir Maulud dan diselajurkan dengan bacaan Yasin dan doa tolak bala.

Manakala itu, semalam, kira-kira 50 orang terdiri daripada ahli-ahli Kumpulan Dikir Wanita Persatuan Saudara-Saudara Baru Tutong (PESATU) dan Kumpulan Dikir Kampung Long Mayan telah mengadakan majlis dikir di Surau Balai Ibadat Hajah Aminah Kampung Long Mayan.

Majlis turut diselajurkan dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Tolak Bala sekampung yang dipimpin oleh Imam Surau Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan, Awang Muhammad Aliyan bin Abdullah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kampung Long Mayan, Awang Muhammad Eddy Suffian bin Abdullah.

Majlis yang merupakan kerjasama ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Long Mayan dan para jemaah Surau Hajah Aminah Long Mayan itu bertujuan untuk mengimarahkan surau serta menyemarakkan lagi malam-malam menjelang sambutan Maulidur Rasul.

Selain itu, ia juga diharap mengeratkan hubungan silaturahim di samping dapat meningkatkan kesedaran hidup beragama dan meningkatkan ketakwaan dalam Islam.

ARTIKEL YANG SAMA