Semarak Hari Kebangsaan

Semarak Hari Kebangsaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Tema Sambutan Hari Kebangsaan ke-33 iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’, telah pun diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mana ia diharap dapat memberikan penekanan secara holistik kepada semua lapisan rakyat terutama golongan belia bagi sama-sama memainkan peranan dalam membantu merealisasikan Wawasan Negara 2035.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi (JKT) Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, Tahun 2017 di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; timbalan-timbalan menteri, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, para pegawai daerah, pemangku pegawai daerah dan para pegawai kerajaan.

Mesyuarat kedua itu ialah mesyuarat susulan bagi membincangkan persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-33 dan memutuskan perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan dan ketetapan ke arah kesempurnaan sambutan yang akan diadakan pada 23 Februari 2017 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan hanya tinggal 87 hari sahaja lagi sebelum Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 berlangsung.

Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz ketika  mendengarkan ucapan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz ketika mendengarkan ucapan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bergambar ramai bersama mereka yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bergambar ramai bersama mereka yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Tanggungjawab dan peranan semua pihak untuk terus berganding bahu dan bekerjasama adalah amat penting bagi memastikan sambutan ini nanti akan berjalan dengan lancar, teratur dan sempurna seperti yang dirancang dan dihasratkan.

Yang Berhormat Pehin turut menekankan dan mengingatkan setiap jawatankuasa kerja yang berkenaan, bahawa setiap perancangan dan tindakan mesti mematuhi peraturan serta berpandukan peruntukan yang telah ditetapkan dalam mengendalikan perbelanjaan, pembelian dan perkhidmatan bagi persediaan sambutan.

Pada mesyuarat berkenaan perkara-perkara yang dibincangkan adalah mengenai tema bagi 2017 yang telah pun dititah perkenankan oleh Baginda Sultan.

Di samping itu juga, mesyuarat membincangkan mengenai cadangan logo baru bagi sambutan ke-33 dan juga mengenai tempoh bagi mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam di bangunan-bangunan awam dan persendirian, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat-syarikat di seluruh negara untuk tempoh 10 hari sahaja.

“Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam akan diadakan pada hari Khamis, 16 Februari 2017 di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan dengan tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

“Upacara Menurunkan Bendera Besar pula akan diadakan pada hari Sabtu, 25 Februari 2017 di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan dengan tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

“Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja pula akan diadakan di keempat-empat buah daerah seperti tahun-tahun yang lalu dengan tumpuan utama di Daerah Temburong.

Di antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
Di antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Tetamu kehormat Majlis Utama di Daerah Temburong ialah Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin manakala tetamu kehormat di daerah-daerah lain adalah di peringkat setiausaha-setiausaha tetap yang juga selaku ahli-ahli jawatankuasa tertinggi,” jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi bahawa Majlis Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin serta Membaca Doa Kesyukuran akan diadakan pada 22 Februari 2017 bertempat di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Manakala upacara perhimpunan agung akan diadakan pada 23 Februari 2017, pukul 8:15 pagi bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Yang Berhormat Pehin menyuarakan bahawa sepertimana jua sebelum ini, sambutan ke-33 merupakan sambutan yang sangat penting bagi para peserta yang terlibat khususnya menzahirkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia mendokong kepimpinan bijaksana Baginda dan kerajaan Baginda dan dapat memperlihatkan semangat patriotisme, perpaduan yang jitu kepada rakyat dan penduduk negara khususnya dan juga masyarakat serantau dan dunia amnya.

Melalui acara-acara yang dirancang bagi memeriahkan lagi sambutan, adalah diharapkan ianya dapat memberikan penekanan secara holistik kepada semua lapisan rakyat terutama golongan belia bagi sama-sama memainkan peranan dalam membantu merealisasikan Wawasan Negara 2035.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan harapan supaya acara-acara seperti Pengagihan Bendera Kecil Meja, Larian Hari Kebangsaan, Majlis Khatam Al-Quran sebanyak 33 kali sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-33 serta acara-acara sampingan yang akan dianjurkan, melalui tema sambutan yang baru itu, akan dapat mendokong hasrat murni dan wawasan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Wawasan Negara 2035 dan untuk menjadikan negara ini sebuah Negara Zikir yang berasaskan kepada falsafah Melayu Islam Beraja dan Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur.

ARTIKEL YANG SAMA