Semarak jalinan Purih Burong Pingai

Semarak jalinan Purih Burong Pingai

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Bagi menyemarakkan lagi Jalinan Purih Burong Pingai, ahli jawatankuasa jalinan berkenaan telah mengadakan Majlis Malam Jalinan Luhur Purih Burong Pingai di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Majlis ini merupakan acara kemuncak dalam Program Jalinan Luhur Purih Burong Pingai yang berlangsung selama tiga hari dan dua malam bermula kelmarin hingga esok (23 Disember).

Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Bagi memulakan majlis, Surah Al-Fatihah dan doa telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, Haji Jasni bin Haji Abdul Latip yang antara lain berkata, bermula dari satu penemuan kira-kira 107 tahun yang lalu dan sehingga kini, ahli keluarga purih-purih Burong Pingai telah giat menjejaki ahli-ahli keluarga dan sanak saudara, jauh dan dekat.

Ucaptama oleh Menteri Hal Ehwal Ugama di majlis itu.
Ucaptama oleh Menteri Hal Ehwal Ugama di majlis itu.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (Dua dari kiri) ketika menghadiri majlis tersebut.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (Dua dari kiri) ketika menghadiri majlis tersebut.

Menurut beliau lagi, lawatan secara berombongan yang dibuat pada bulan September dan Disember 2014 oleh Purih Burong Pingai, Brunei Darussalam, atau rombongan balas daripada ahli keluarga Belaga, Sarawak pada Februari, Mei dan Ogos, 2015, mahupun secara perseorangan telah berhasil mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Dalam ucapannya itu, beliau juga memberitahu, terdapat ahli-ahli keluarga yang hadir pada majlis berkenaan juga telah berkesempatan menghadirkan diri pada Majlis Malam Sambutan Hari Raya Aidilfitri Purih Burong Pingai pada 26 Syawal lalu yang berjaya mengumpulkan ahli-ahli keluarga jauh dan dekat dengan keramaian lebih 1,700 orang termasuk daripada kalangan mereka yang selama ini dikenali hanya sebagai sahabat biasa, kawan pengajian di sekolah, maktab atau universiti tapi sekarang ini rupa-rupanya sanak saudara daripada keluarga serumpun dan seketurunan yang sama.

Antara generasi Purih Burong Pingai yang hadir.
Antara generasi Purih Burong Pingai yang hadir.
Belia Purih Burong Pingai yang terlibat dengan persembahan di majlis berkenaan.
Belia Purih Burong Pingai yang terlibat dengan persembahan di majlis berkenaan.

Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Rombongan di Majlis Jalur Luhur Purih Burong Pingai 2015, Abang Salim bin Abang Ali dan diikuti dengan ucaptama Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin sambil diiringi oleh pengerusi majlis.

Majlis telah diteruskan lagi dengan persembahan-persembahan termasuk nasyid, Puisi dalam Syair iaitu Puisi ‘Balo Kito’ dan Syair, serta persembahan ‘Dikir Bersama’ sebelum tetamu-tetamu menikmati jamuan yang telah disediakan.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan terdiri daripada purih-purih Burong Pingai yang bukan sahaja dari Negara Brunei Darussalam, tetapi juga dari Kuching, Sri Aman, Lingga, Belaga, Bintulu, Labuan, dan juga Sabah, Malaysia.

Tujuan majlis ini diadakan adalah bagi mengetahui asal-usul purih Burong Pingai, sebagai pertemuan sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa dan belum pernah berjumpa serta bagi mengeratkan lagi tali silaturahim yang telah sekian lama terjalin di antara purih (penduduk) Burong Pingai.

ARTIKEL YANG SAMA