Semarakkan hari kebesaran Islam

Semarakkan hari kebesaran Islam

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Seramai 200 orang pelajar Politeknik Brunei hari ini menghadiri Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah, Berakas, di sini.

Majlis berkenaan merupakan program keagamaan Politeknik Brunei yang dianjurkan bersama alumni Politeknik Brunei dan Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Brunei yang disokong oleh Jabatan Pendaftar dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Brunei.

Seorang penceramah telah diundang pada majlis tersebut bagi memberikan ceramah khas bertajuk ‘Muhasabah Diri, Allah Sayang Saya’ yang disampaikan oleh Haji Khairul Nazif bin Haji Damit.

Tujuan sambutan ini diadakan adalah bagi memeriahkan dan menyemarakkan lagi hari kebesaran Islam melalui ceramah khas yang dikhususkan kepada pelajar-pelajar Politeknik Brunei bagi mendukung hasrat Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pendaftar Politeknik Brunei, Dayang Erani binti Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, ketua-ketua sekolah, pensyarah, pegawai dan kakitangan Politeknik Brunei.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti persembahan Tilawah Al-Quran oleh pelajar pengambilan ke-5 Sekolah Perdagangan Politeknik Brunei, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri sebelum diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA