Semarakkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu

Semarakkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

MAJLIS Sambutan Bulan Bahasa 2016 diadakan supaya dapat meningkatkan kecintaan semua terhadap bahasa kita sendiri iaitu bahasa Melayu, dan dengan kecintaan itu secara tidak langsung usaha penggandaan terhadap pendaulatan bahasa akan dapat dicapai.

Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak berkata, bahasa perlu diperkasa dan didaulatkan, apatah lagi dengan senario sekarang menghadapi rempuhan arus era globalisasi yang mendorong kepada penggunaan istilah-istilahnya tersendiri yang tidak mustahil boleh mencemarkan ketulenan Bahasa Melayu.

“Ditambah lagi dengan dunia pendidikan ketika ini yang rata-ratanya banyak menggunakan istilah bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, kebanyakan penuntut juga tidak mengetahui bahawa kebanyakan istilah-istilah dari bahasa asing telah dijadikan bahasa Melayu standard.

“Hal ini juga tidak menghairankan kerana penggunaan istilah bahasa Melayu yang telah dibentuk oleh MABBIM kurang digunakan dalam mata pelajaran, sehingga para penuntut lebih cenderung mengenali istilah bahasa asing,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2016 bagi Daerah Belait diadakan di Sekolah Menengah Pengiran Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut hari ini.

Awang Wardi semasa meninjau aktiviti sempena Majlis Bulan Bahasa bagi Daerah Belait kelmarin.
Awang Wardi semasa meninjau aktiviti sempena Majlis Bulan Bahasa bagi Daerah Belait kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut hari ini ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Muhammad Ali yang seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada pelajar-pelajar cemerlang, serta menyerahkan watikah Ikrar Bahasa kepada sekolah-sekolah yang terpilih dan juga menyerahkan Buku Mini Mari Makan kepada pengusaha restoran yang terpilih.

Majlis Sambutan Bulan Bahasa diadakan di setiap daerah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tema “Daulatkan Bahasa Melayu.” Ia antara lain bertujuan untuk melibatkan masyarakat dalam mendaulatkan bahasa Melayu, dan untuk sama-sama memeliharanya, menjaganya, serta mempertahankannya.

Sambutan Bulan Bahasa turut disemarakkan dan digemakan dengan bacaan ikrar bahasa selain turut diisikan dengan kegiatan jerayawara bagi melibatkan penyertaan pengunjung melalui aktiviti  berkaitan dengan kebahasaan yang telah disediakan.

“Mudah-mudahan dengan adanya penyertaan itu, para peserta akan dapat menimba ilmu, sekurang-kurangnya menambah minat ingin tahu mengenai dengan bahasa Melayu sama ada dari sudut ilmu linguistik, sains bahasa, budaya, mahupun keindahan bahasa atau dikenali sebagai kesusasteraan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru khususnya kepada para pelajar supaya bersama-sama menggembleng tenaga dalam mendaulat dan memperkasa bahasa Melayu selaku bahasa rasmi negara dan bukan hanya sebagai asal tahu bercakap Melayu.

Majlis hari ini turut diceriakan lagi dengan persembahan Sketsa Drama Sebabak, dan diteruskan dengan pelbagai aktiviti kebahasaan.

ARTIKEL YANG SAMA