Semarakkan Ramadan dengan Nuzul Al-Quran

Semarakkan Ramadan dengan Nuzul Al-Quran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Dalam usaha menghayati dan mencintai bulan suci Ramadan yang penuh keberkatan ini, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) hari ini mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran KUPUSB anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Unit Kerohanian.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiyah KUPUSB ialah Ra’es KUPUSB, Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim.

Dekan Pelajar selaku Pengerusi Majlis Ihya, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili dalam ucapannya menjelaskan majlis tersebut adalah majlis memperingati Nuzul Al-Quran bagi tahun ini dan ia juga kesinambungan daripada pengisian aktiviti Cahaya Ramadan KUPUSB.

Beliau menyeru kepada warga KUPUSB dan umat Islam sekalian untuk memperbanyakkan amal-amal yang soleh khususnya sepanjang bulan Ramadan ini.

Dr Hajah Noor Hira semasa menyampaikan ceramah.
Dr Hajah Noor Hira semasa menyampaikan ceramah.

Majlis berkenaan adalah bertujuan menyemai ketakwaan dalam kalangan warga KUPUSB di bulan ini dan mengambil iktibar perkara yang berkebajikan daripada perilaku yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W agar dapat diaplikasikan dalam bulan-bulan seterusnya. Di samping itu juga ia turut menyemarakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga KUPUSB.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran KUPUSB pagi tadi turut disemarakkan lagi dengan Ceramah Khas yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah KUPUSB, Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh. Dalam ceramahnya beliau antara lain menyentuh mengenai keistimewaan sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan dan cara-cara umat Islam untuk merebut pahala yang berlipat ganda di bulan ini.

ARTIKEL YANG SAMA