Sembah tahniah Hari Keputeraan

Sembah tahniah Hari Keputeraan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Para pemimpin negara, ketua-ketua kerajaan, pesuruhjaya tinggi, duta-duta dan perwakilan asing mengutus sembah ucapan tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda ke-70.

Antara yang mengutus ucapan tahniah ialah Ratu Elizabeth II dari United Kingdom yang berharap Baginda Sultan gembira dan dipanjangkan usia serta berharap jalinan hubungan rapat antara United Kingdom dengan Brunei Darussalam akan berkekalan.

Manakala Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Negara Brunei Darussalam, David Campbell dan rakyat Britain yang berada di Brunei, menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah pada Hari Keputeraan Baginda Sultan dan semoga berjaya pada tahun-tahun akan datang.

Dalam pada itu, Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Craig Allen, mewakili Presiden Obama dan rakyat Amerika Syarikat turut menyembahkan ucapan tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Hari Keputeraan ke-70 Baginda Sultan. Menurutnya, sebagai duta AS ke Brunei Darussalam, ia adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Baginda untuk mempertingkatkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara.

Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan Raja Permaisuri Agong juga berkenan mengutus titah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Dalam perutusan itu, Yang di-Pertuan Agong berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia dan dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa dalam dipelihara Allah S.W.T.

Yang di-Pertuan Agong juga melafazkan kesyukuran atas keakraban hubungan Malaysia dan Negara Brunei Darussalam dan berharap agar hubungan erat dan istimewa yang sekian lama terjalin ini akan bertambah kukuh dan terus berkekalan.

Turut menyembahkan perutusan tahniah sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan ialah pemimpin-pemimpin Singapura terdiri daripada Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam dan isteri yang mengharapkan Baginda Sultan dan kerabat diraja lain dalam keadaan sihat sejahtera dan berjaya.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching turut menyembahkan ucapan tahniah, mengatakan Hari Keputeraan ini merupakan detik bersejarah bagi semua rakyat Brunei kerana di bawah bimbingan dan wawasan Baginda Sultan, rakyat Brunei menikmati keamanan dan kemakmuran, bersatu dan harmoni.

Beliau yakin Brunei akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan Baginda Sultan dan berharap hubungan Brunei dan Singapura terus berkembang maju.

Manakala Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean dan isteri, Poh Yim turut menyembahkan ucapan selamat Hari Puja Usia kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Turut menyembahkan ucap selamat Puja Usia ialah Menteri Mentor Goh Chok Tong dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan yang mendoakan kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan berharap jalinan hubungan dua negara terus mekar.

Turut menyembahkan perutusan tahniah ialah Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo yang mendoakan Baginda Sultan sentiasa dikurniakan dengan kesihatan, umur panjang dan kebahagiaan oleh Allah S.W.T serta selalu berada dalam lindunganNya.

Beliau juga berharap hubungan yang selama ini terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia akan terus berkembang seiring dengan upaya mereka bersama untuk mencapai kesejahteraan bagi rakyat kedua-dua buah negara sekali gus mewujudkan perdamaian di Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA