Sembilan maut, lelaki kulit putih serang gereja

Sembilan maut, lelaki kulit putih serang gereja

CHARLESTON, S.C., 18 Jun (Reuters) – Seorang lelaki kulit putih bersenjata menembak mati sembilan orang di sebuah gereja Afrika-Amerika di Charleston, Carolina Selatan, menurut ketua polis bandar itu hari ini, sambil menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah kebencian”.

Suspek, seorang lelaki kulit putih berusia 21 tahun memakai baju panas, jeans dan but, masih lagi bebas beberapa jam selepas penembakan pada petang semalam.

Lapan mangsa ditemui maut di dalam gereja, ketua polis Gregory Mullen memberitahu wartawan pada sidang media, dan mangsa kesembilan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital. Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital.

Mullen berkata: “Adalah tidak dapat diduga seseorang dalam masyarakat hari ini boleh berjalan masuk ke gereja lalu membunuh mereka yang berada di dalamnya.”

Sekumpulan ahli jawatankuasa Gereja Mother Emanuel African Methodist Episcopal memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selepas seorang lelaki kulit putih menembak mati sembilan orang yang menghadiri upacara keagamaan di gereja itu pada 17 Jun 2015. – AFP
Sekumpulan ahli jawatankuasa Gereja Mother Emanuel African Methodist Episcopal memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selepas seorang lelaki kulit putih menembak mati sembilan orang yang menghadiri upacara keagamaan di gereja itu pada 17 Jun 2015. – AFP

Setakat ini tiada seorang pun mangsa sudah dikenal pasti. Tetapi Reverend Al Sharpton, pemimpin hak asasi awam berpangkalan di New York berkata melalui Twitternya bahawa Reverend Clementa Pinckney, pastor gereja itu dan Senat negeri, adalah di antara mereka yang terkorban.

Penembakan berlaku di Gereja Emanuel AME di pusat sejarah Charleston pada kira-kira jam 9 malam (0100 GMT), menurut jurucakap Jabatan Polis Charleston, Charles Francis.

Sejurus selepas insiden itu, berlaku pula ancaman bom yang dilaporkan berhampiran gereja, kata jurucakap Pejabat Sherif Daerah Charleston, Eric Watson, dan orang ramai yang berkumpul di sekitar kawasan berkenaan diarahkan polis supaya segera bersurai.