Sembilan pengganas dipenjara seumur hidup

Sembilan pengganas dipenjara seumur hidup

KOTA KINABALU, 26 Julai – Sembilan tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu terselamat daripada tali gantung dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Mahkamah Tinggi Stephen Chung menjatuhi hukuman itu hari ini terhadap warga Filipina Atik Hussin Abu Bakar, 45; Basad H. Manuel, 41; Ismail Yasin, 76; Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52; Salib Akhmad Emali, 63; Al Wazir Osman, 61; Tani Lahaddahi, 63; Julham Rashid, 69; dan Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53. Pertuduhan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan ini memperuntukkan hukuman mati.

Dalam penghakimannya, Chung berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti bahawa mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Beliau menegaskan orang paling utama dalam kes pencerobohan itu seperti Datu Agbimuddin Kiram dan ‘Jeneral Musa’ tidak dibawa ke muka pengadilan.

“Bukanlah tugas yang menyenangkan untuk menjatuhi hukuman sewajarnya terhadap tertuduh yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan ini menjejaskan dengan teruk kehidupan penduduk Kampung Tanduo dan mereka yang tinggal di kampung berhampiran, selain kaum keluarga anggota keselamatan yang terkorban,” katanya.

Chung turut menjatuhi hukuman penjara 18 tahun masing-masing terhadap Salib Akhmad, Al Wazir, Tani, Julham dan Datu Amir atas pertuduhan kedua menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, manakala empat orang lagi – Atik Hussin, Basad, Ismail dan Virgilio – yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 13 tahun.

Hakim memerintahkan supaya hukuman penjara berjalan serentak dengan kesalahan pertama bermula dari tarikh mereka ditangkap. Turut disabitkan kesalahan menganggotai kumpulan pengganas ialah Timhar Hadil, 39, dan seorang rakyat tempatan Abd Hadi Mawan, 52, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan diperintahkan supaya menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap. – Bernama