Sembunyi anak...

Sembunyi anak dalam but kereta akhirnya terbongkar jua

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Seorang wanita warga Malaysia dijatuhi hukuman denda $2,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan membantu anaknya untuk keluar dan masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Jika Alus binti Aman, 43, gagal membayar denda tersebut, dia diperintahkan oleh Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain untuk menjalani hukuman penjara selama dua bulan. Perbuatan tertuduh menyembunyikan anak lelakinya berusia 21 tahun yang merupakan warga tempatan di dalam but kereta yang dipandunya terbongkar apabila pemeriksaan dilakukan oleh pegawai kastam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika melewati Pos Kawalan Kuala Lurah dari Limbang pada 18 Januari 2017.

Siasatan juga mendapati anak tertuduh berjaya keluar dari negara ini melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah menuju ke Limbang tanpa mengemukakan pasport pada hari yang sama.

Tertuduh mengakui membantu anaknya kerana pasport milik anaknya sudah kehabisan muka surat. Anak tertuduh pada 31 Januari telah dijatuhi denda $3,000 dan gagal membayar akan berdepan enam bulan penjara.