Sembunyi barang curi dalam semak terbongkar

Sembunyi barang curi dalam semak terbongkar

Oleh Arissa

LIMBANG,15 Jun – Tindakan seorang remaja yang menyorokkan pelbagai barangan curi di kawasan belukar berhampiran rumahnya terbongkar apabila tindakannya itu berjaya dihidu sebelum ditahan polis di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11:25 pagi itu, suspek, 19, dari Kampung Kelapa Mawar dicekup sepasukan polis dalam satu pemeriksaan kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah yang berlaku di Kampung Ulak Sabtu lepas.

Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek terlebih dahulu menyembunyikan pelbagai barangan curi di dalam semak berhampiran rumahnya bagi mengelak kegiatannya diketahui orang ramai.

Ketua Polis Daerah Limbang Su-perintenden Mohd Bukhori Saffai berkata suspek ditahan dan pelbagai barangan dicuri turut dirampas.

TERBONGKAR....Pelbagai barangan curi yang disembunyi dalam belukar.
TERBONGKAR….Pelbagai barangan curi yang disembunyi dalam belukar.

“Kita berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah dalam tempoh empat hari berlakunya kes tersebut dengan tertangkapnya suspek kelmarin.

“Turut dirampas adalah sebuah meja telefon, beberapa bilah parang pelbagai saiz, satu set kerusi kayu kusyen, satu enjin sangkut, satu unit kipas angin, sebuah motosikal mini, lampu duduk dan beberapa barangan curi lain,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM10,130. Katanya pihaknya masih memburu suspek-suspek lain yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. Suspek juga jelasnya direman hari ini untuk membantu siasatan.