Sembunyi dadah

Sembunyi dadah

Oleh Arissa

 

LAWAS, 19 Jan – Tindakan seorang penganggur yang menyembunyikan dadah jenis syabu dalam bilik di sebuah hotel di sini hanya memakan diri apabila perbuatannya itu terbongkar dalam satu serbuan di sini tengah hari kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan jam 11:11 pagi itu suspek 40, ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lawas diketuai oleh Inspektor Zulpaka Aidiee.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahamad berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam bilik terbabit, polis menjumpai satu bekas gula berwarna hijau yang mengandungi 17 keratan straw berwarna hijau muda dan di dalamnya terdapat hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Suspek dibawa ke balai polis Lawas untuk tindakan lanjut dan suspek juga positif meth dan amp selepas ujian saringan awal polis dilakukan ke atasnya,” katanya di sini.

DSP Abang Zainal menjelaskan lagi anggaran berat dadah yang dirampas adalah seberat 1.95 gram. Selain itu, dua lagi pekerja buruh turut diberkas kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi yang dijalankan jam 11:27 pagi kelmarin. “Kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 ditahan dan kedua-dua suspek juga positif meth dan amp.”

Kes terbabit katanya akan disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

Menurut DSP Abang Zainal, operasi sama akan diteruskan dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini.