Seminar A’bangsa Islam buka tirai

Seminar A’bangsa Islam buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu VI (ICON IMAD VI 2016) membuka tirainya hari ini di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di mana ia akan berlangsung selama dua hari.

Hadir bagi merasmikan seminar dan seterusnya menyampaikan kertas kerja perdana bertajuk ‘Islam Pemangkin Kemakmuran di Alam Melayu’ selaku pembentang utama ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam UNISSA, Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad selaku pengerusi bersama dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, seminar ini merupakan seminar kolaborasi antara empat negara menerusi empat institusi pengajian tinggi iaitu UNISSA mewakili Negara Brunei Darussalam, Universiti Islam Negeri Sunan Gunung Djati mewakili Indonesia, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mewakili Malaysia dan Kolej Pengajian Islam Universiti Prince Songkhla, Pattani mewakili Thailand.

Seminar yang membawa tema ‘Islam Pemangkin Kemakmuran di Alam Melayu’ ini bertujuan untuk menonjolkan peranan Islam sebagai pemangkin kemakmuran sejagat sesuai dengan misi Islam Rahmatan Lil ‘Alamin.

“Kemakmuran yang dianjurkan oleh Islam mencakupi keharmonian, kedamaian, perpaduan, toleransi dan pemba-ngunan dalam semua aspek kehidupan. Perkara ini telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam Al-Quran dan dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. Oleh yang demikian, ia perlu difahami, dihayati dan diamalkan secara bersungguh-sungguh dan berterusan,” ujar Dr. Siti Sara.

Mufti Kerajaan semasa menghadiri Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu VI.
Mufti Kerajaan semasa menghadiri Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu VI.
Dr. Siti Sara selaku pengerusi bersama semasa menyampaikan ucapan.
Dr. Siti Sara selaku pengerusi bersama semasa menyampaikan ucapan.

Menurutnya lagi, kemakmuran mula dikecapi oleh masyarakat di alam Melayu setelah kedatangan Islam yang dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan.

Walau bagaimanapun, penjajahan telah menyebabkan kemunduran dan perpecahan dan keadaan ini mencetuskan keperluan mendesak untuk mengembalikan kemakmuran mengikut ajaran Islam aliran Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Oleh itu, jelas Dr. Siti Sara, ICON IMAD VI 2016 ini dianjurkan sebagai landasan bagi mengetengahkan konsep kemakmuran Islam untuk diamalkan di alam Melayu.

Sebahagian daripada peserta seminar yang hadir.
Sebahagian daripada peserta seminar yang hadir.

Aspek kemakmuran ini akan dikupas dan dibincangkan dari pelbagai perspektif, antaranya perspektif Al-Quran Al-Karim dan Al-Sunnah, akidah dan dakwah, syariat dan undang-undang Islam, sejarah dan tamadun Islam, pendidikan Islam, bahasa dan kebudayaan, ekonomi Islam, politik, pentadbiran Islam, pengurusan dan pembangunan dan sebagainya.

“Insya-Allah sebanyak 66 kertas kerja iaitu 16 dalam Bahasa Arab, 36 dalam Bahasa Melayu dan 14 dalam Bahasa Inggeris akan dibentangkan sepanjang seminar ini berlangsung.”

Beliau seterusnya melahirkan harapan agar seminar ini akan dapat menjadi platform dalam membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat di alam Melayu dan seterusnya berharap agar hasil pembentangan dan kajian ilmiah ini akan dapat dimanfaatkan dan dipergiatkan ke arah menyumbang kemakmuran yang holistik dalam semua aspek kehidupan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Prof. Madya Dr Haji Azman bin Haji Ahmad dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

ARTIKEL YANG SAMA