Seminar atlet muda

Seminar atlet muda

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam memahami cara berkesan untuk mengelak kecederaan semasa bersukan, satu seminar atlet muda ‘Young Athletes Sports Injury Cure Management & Taping Technique’ telah diadakan di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan.

Seramai 60 orang peserta terdiri daripada jurulatih, atlet dan guru sekolah rendah dan menengah dari keempat-empat daerah telah menyertai seminar anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan melalui JPKK cawangan Daerah Tutong itu.

Tajuk seminar iaitu ‘Pengurusan kecederaan sukan atlet muda, cara mengelaknya daripada berlaku dan bagaimana menanganinya jika berlaku’ itu telah dimudahcara oleh dua orang pegawai dari Pusat OPTIMA, Kementerian Pertahanan iaitu Ketua Jurulatih Strength & Conditioning, I.M Ranasinghe dan Juru Fisioterapi, Maria Leah A. Cenzon.

Pada akhir seminar sehari itu, para peserta telah menerima sijil kehadiran masing-masing daripada Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Haji Azis bin Haji Nayan sambil diiringi Ketua JPKK cawangan Daerah Tutong, Awang Mohamad bin Haji Mohd Saat.

Matlamat seminar adalah untuk peserta bagi mengenal kecederaan yang biasa dihadapi oleh atlet muda dan mengetahui penyebab kecederaan terjadi dan bagaimana menghindari, dan juga mempelajari atau mengetahui pergerakan badan, kekuatan dan pekembangan tulang, otot dan ligamen.

Haji Azis menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta seminar.
Haji Azis menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta seminar.

Menerusi seminar itu juga, para peserta akan dapat mengenalpasti latihan yang khusus bagi meningkatkan stabiliti teras dan mengembalikan kekuatan dan mobiliti (pergerakan) selepas kecederaan, selain memahami anatomi dan perbezaan psikologi antara atlet muda dan dewasa.Menurut Ranasinghe, sukan kanak-kanak dan remaja tidak seselamat seperti yang diharapkan, maka dedikasi guru-guru boleh menjadikannya selamat, dan oleh kerana itu kemajuan telah dicapai dalam mempertingkat keselamatan berkenaan.

Beliau menjelaskan kecederaan sukan boleh berlaku disebabkan beberapa perkara antaranya yang berlaku semasa bermain atau bersenam, yang berlaku disebabkan kemalangan dan pelanggaran badan seperti dengan pemain lain, peralatan mahupun pakaian sukan yang dikenali sebagai kecederaan traumatik akut.

Menurutnya lagi, beberapa perubatan khusus perlu diambil perhatian oleh semua iaitu “semakin sihat seseorang atlet muda itu, semakin kuranglah risiko kecederaan sukan akan berlaku” seperti gaya pemakanan sihat boleh mempertingkat daya tahan atlet dan tahap persembahan mereka, yang turut menyumbang kepada mengelak kecederaan.

Beliau juga memberi penegasan bahawa penggunaan dadah dan makanan tambahan untuk mempertingkat persembahan adalah tidak sihat dan merbahaya.