Seminar dorong pemikiran kritis

Seminar dorong pemikiran kritis

Oleh Lenna N.B

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Kira-kira 20 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti kursus Modul AS5201 Penulisan Akademik kelmarin telah mengikuti Seminar Tradisi Lisan Brunei yang diadakan di Inspiring Hall, Pusat Pelajar, Universiti Brunei Darussalam, di sini.

Seminar yang bertemakan ‘Antara Sejarah dan Tradisi Lisan’ itu merupakan lanjutan daripada lawatan penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh mahasiswa dan mahasiswi Sarjana Kesusasteraan Melayu tersebut pada 22 September lepas di tiga buah lokasi tapak sejarah iaitu Batu Tarsilah, Makam Sultan Bolkiah dan Makam Raja Ayang.

Seminar tersebut merupakan anjuran Program Kesusasteraan Melayu yang diusahakan oleh mahasiswa-mahasiswi berkenaan bertujuan mendorong berfikir secara kritis dalam melakukan penyelidikan, mengongsikan hasil dapatan kajian kepada para peserta seminar, dan suatu pendedahan kepada mereka untuk melakukan penghujahan yang berdasarkan kepada bukti-bukti kukuh.

Sewaktu seminar tersebut berlangsung juga turut memperdengarkan ceramah daripada Dr. Maslin bin Haji Jukim selaku penyelia kursus yang membentangkan mengenai ‘Kasih Sayang dalam Patuturan: Sifat Keterbalikkan–Non Happy Ending’, diikuti dengan ceramah kedua disampaikan oleh Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong dengan tajuk ‘Kasih Sayang dalam Pantang Larang Melayu Brunei’.

Dr. Maslin, selaku penyelia seminar ketika menyampaikan ceramahnya, ‘Kasih Sayang dalam Patuturan: Sifat Keterbalikkan –Non Happy Ending.’
Dr. Maslin, selaku penyelia seminar ketika menyampaikan ceramahnya, ‘Kasih Sayang dalam Patuturan: Sifat Keterbalikkan –Non Happy Ending.’

Sesi pembentangan seminar tersebut bermula dari Kumpulan I yang membawakan tajuk ‘BatuTarsilah’, Kumpulan II dengan tajuk ‘Makam Sultan Bolkiah’ dan Kumpulan III dengan tajuk ‘Makam Raja Ayang’ yang mewakilkan dua orang dari setiap kumpulan untuk menyampaikan hasil kajian lanjutan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA