Seminar halusi cara pengadilan sepak takraw

Seminar halusi cara pengadilan sepak takraw

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) hari ini, mengadakan seminar sehari bagi pengadil-pengadil ISTAF/ASTAF/Pengadil Kebangsaan Kelas 1, 2, 3 dan bakal pengadil Kelas 3 yang diadakan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Seminar yang dihadiri oleh 17 orang pengadil itu didedahkan mengenai undang-undang sepak takraw, etika pengadil dan seterusnya mengenai cara-cara mengadili perlawanan mengikut standard yang ditetapkan oleh ISTAF dan ASTAF.

Para pengadil juga berpeluang untuk mengajukan soalan kepada panel-panel pembentangan serta berkongsi pengalaman masing-masing ketika menjadi pengadil baik dalam dan luar negara sebelum ini.

Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Alihassan bin Pengiran Dato Seri Laila Jasa Haji Abas dalam ucapannya menjelaskan seminar itu adalah kesinambungan kepada kursus pengadil yang disertai bakal pengadil kelas 3 yang lalu.

Suasana ketika seminar tersebut dijalankan.
Suasana ketika seminar tersebut dijalankan.

Menurutnya, seminar bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pengadil lama yang berpengalaman di peringkat ISTAF dan ASTAF serta kebangsaan dan menjadi platform bertukar-tukar fikiran, pendapat dan pengalaman.

“Seminar dianjurkan oleh PESTABARU ini merupakan kerjasama PESTABARU bersama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diadakan kali ketiga sejak mula diperkenalkan pada tahun 2013 lagi,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA