Seminar ICON IMAD 20 September ini

Seminar ICON IMAD 20 September ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu (ICON IMAD) kali ke-6 akan diadakan pada 20 hingga 22 September ini di Dewan Auditorium Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA).

Pada seminar itu nanti seramai 67 orang pembentang dari pelbagai negara seperti Brunei Darussalam, Malaysia, Thailand, Indonesia, India dan Maldives akan membentangkan kertas-kertas kerja.

“Ia merupakan seminar kolaborasi antara empat negara menerusi empat institusi pengajian tinggi iaitu UNISSA, Brunei Darussalam; Universiti Malaya, Malaysia; Universiti Prince Songkhla, Thailand; dan Universiti Islam Negeri Sunan Gunung Djati, Indonesia,” kata Dekan Fakulti Usuluddin selaku Pengerusi Bersama Seminar ICON IMAD, Dr. Lilly Suzana binti Haji Shamsu semasa sidang media mengenainya di Bilik Mesyuarat UNISSA, pagi tadi.

Seminar yang dianjurkan setiap tahun ini merupakan yang pertama kalinya diadakan di Brunei Darussalam melalui UNISSA.

ICON IMAD ke-6 ini merupakan rentetan daripada ICON IMAD I di Bandung pada tahun 2011, ICON IMAD II di Universiti Malaya pada tahun 2012, ICON IMAD III di Bandung pada tahun 2013, ICON IMAD IV di Universiti Malaya pada tahun 2014 dan ICON IMAD V di Thailand, ujarnya lagi.

Dr. Lilly Suzana dan Dr. Siti Sara semasa sidang media mengenai Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu yang akan diadakan 20 hingga 22 September ini.
Dr. Lilly Suzana dan Dr. Siti Sara semasa sidang media mengenai Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu yang akan diadakan 20 hingga 22 September ini.

“UNISSA mula berkolaborasi dalam penganjuran seminar ini pada tahun 2015. Alhamdulillah, pada tahun ini penganjuran ICON IMAD VI dengan tema ‘Islam Pemangkin Kemakmuran di Alam Melayu’ adalah yang pertama kali di negara ini,” tambahnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam UNISSA, Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad ketika menjelaskan mengenai objektifnya, berkata, “Pertama-tama objektif seminar ialah ingin menonjolkan peranan Islam sebagai pemangkin kemakmuran sejagat sesuai dengan misi Islam Rahmatan Lil Alamin, yang kedua ialah untuk mempraktikkan cara hidup berpandukan ajaran Islam mengikut aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Tambahnya lagi, ia juga bertujuan untuk mewujudkan keharmonian dan toleransi antara komuniti Muslim dan mereka yang bukan Muslim bagi mengukuhkan perpaduan dan kemakmuran sejagat dan seterusnya mempergiat dan memanfaatkan hasil kajian Islam ke arah menyumbang kepada kemakmuran yang holistik dalam semua aspek kehidupan.

Seminar dua hari itu juga akan menampilkan pembentang utama iaitu Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dengan kertas kerja perdana bertajuk ‘Islam Pemangkin Kemakmuran di Alam Melayu’.

Sehubungan itu, pihak UNISSA mengalu-alukan pihak-pihak yang relevan untuk menghadiri seminar berkenaan yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, mahasiswa dan mahasiswi, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta dalam institusi yang berkenaan.

Bagi menyertai seminar tersebut, bayaran akan dikenakan sebanyak $100 bagi wakil jabatan, manakala individu persendirian sebanyak $50 dan pelajar sebanyak $20. Pembayaran boleh dilakukan di Bahagian Kewangan UNISSA dan pembayaran juga boleh dibuat semasa menghadiri seminar berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 2462000 sambungan ke 232 atau 154.

ARTIKEL YANG SAMA