Seminar informasi University of Otago

Seminar informasi University of Otago

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Findlay (B) Sdn Bhd, hari ini, telah mengendalikan seminar informasi mengenai University of Otago, New Zealand, yang diadakan di ibu pejabatnya di Gadong.

Antara yang hadir pada seminar berkenaan ialah kalangan pelajar dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang, PTE Tutong, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta ibu bapa mereka.

Seminar telah disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Serantau, Victoria McEniery, yang antara lain menjelaskan mengenai New Zealand iaitu salah sebuah negara yang penuh dengan daya tarikan alam semula jadi, dan mengenai University of Otago yang berada di Dunedin.

Menurut beliau, University of Otago merupakan universiti yang pertama ditubuhkan di New Zealand iaitu pada tahun 1869, manakala Dunedin pula merupakan kota universiti dengan 20 peratus daripada penduduknya terdiri daripada kalangan pelajar.

Pelbagai kursus ditawarkan kepada pelajar bergantung dengan kelulusan yang diperolehi, antaranya sarjana muda dalam sains gunaan, seni, sains bio perubatan, perniagaan, pembedahan pergigian, teknologi pergigian, undang-undang, sains makmal perubatan, perubatan dan muzik.

Antara pelajar-pelajar yang hadir mendengarkan seminar informasi berkenaan.
Antara pelajar-pelajar yang hadir mendengarkan seminar informasi berkenaan.

Selain itu, mereka juga menawarkan kursus kesihatan mulut, farmasi, pendidikan fizikal, fisioterapi, sains, ukur, pengajaran serta teologi. Tempoh kursus yang ditawarkan adalah tiga hingga empat tahun bergantung kepada kursus yang dipilih.

Selain daripada program sarjana muda, program ijazah lanjutan juga disediakan seperti diploma lepasan ijazah, kursus dan penyelidikan sarjana dan program-program PhD.

Menyentuh mengenai kehalalan, beliau berkata, Otago mempunyai perkhidmatan dan kemudahan yang komprehensif bagi para pelajar Brunei, yang mana makanan halal boleh didapati di kampus dan juga di tempat tinggal.

Selain itu, bilik sembahyang juga disediakan, malah masjid juga terletak tidak jauh dari tempat tinggal dengan hanya mengambil masa lima minit berjalan kaki.

Menurut beliau lagi, memandangkan pada masa ini hanya seramai 50 orang pelajar dari Brunei yang belajar di sana, mereka digalakkan untuk bergabung dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia bagi berkongsi mengenai hal-hal kehalalan dan keagamaan.

Pengarah Findlay (B) Sdn Bhd, Sunita Martin ketika ditemui Media Permata, menjelaskan bahawa ini merupakan kali pertama universiti tersebut mengadakan seminar informasi berkenaan di bawah kendalian Findlay (B) Sdn Bhd.

“Peranan kami adalah dalam mewakili mereka (pihak universiti) untuk memberi maklumat yang betul kepada pelajar dan nasihat mengenai kesesuaiannya untuk program itu sama ada mereka perlu menulis latar belakang akademik dan sebagainya.

“Kami juga membantu mereka dalam proses visa, tempat tinggal dan memberi mereka maklumat sebelum perlepasan, seminar maklumat dan sebagainya.”

Tambah beliau lagi, mereka menyokong pelajar-pelajar sepanjang pengajian di universiti, jadi ia tidak berakhir apabila mereka berlepas.

“Kami kekal berhubung dengan mereka sepanjang program tiga atau empat tahun mereka di sana,” ujar beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA