Seminar PPPs tarik pelaburan baru

Seminar PPPs tarik pelaburan baru

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Dalam usaha berterusan untuk menyokong kempen kerajaan ke arah menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pempelbagaian ekonomi, Bahagian Sivil, Pejabat Peguam Negara telah mengadakan seminar bertajuk ‘Public Private Partnerships (PPPs) in Relation to Government Projects’ yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini.

Seminar dihadiri oleh para pegawai dari Pejabat Peguam Negara, Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB), Kementerian Kewangan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, PPPs diiktiraf secara meluas sebagai langkah penting dalam memanfaatkan kemahiran-kemahiran dan kepakaran sektor swasta sementara menarik pelaburan baru untuk memperbaiki perkhidmatan awam dan membantu membiayai penambahbaikan infrastruktur.

Semasa seminar itu, para peserta telah diperkenalkan kepada isu-isu berkaitan dengan melaksanakan projek-projek infrastruktur menerusi PPPs termasuk pembangunan dasar-dasar PPPs dan rangka kerja perundangan dan peraturan yang diperlukan yang disampaikan oleh penceramah dari Singapura, KC Lye dan Nicky Davies dari Norton Rose Fulbright (Asia) LLP.

Ia telah diakhiri dengan penyampaian sijil-sijil kepada para peserta oleh Peguam Cara Negara, Dayang Naimah binti Mohd Ali.

ARTIKEL YANG SAMA