Seminar sempena penubuhan Jabatan Penjara

Seminar sempena penubuhan Jabatan Penjara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara ke-61, Majlis Seminar Pemulihan dan Seliaan, Melayu Islam Beraja: Asas Integrasi telah diadakan di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Hadir di majlis itu ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Setiausaha/Ketua Urus Setia Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MIB), Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.

Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat dalam ucapan alu-aluannya berkata Jabatan Penjara adalah sebuah agensi yang melindungi masyarakat dengan menahan penghuni secara terkawal dan berperikemanusiaan serta juga berperanan dalam menyediakan program-program pemulihan yang sempurna supaya para penghuni dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna dan bertanggungjawab.

“Sistem pemulihan merangkumi empat komponen utama iaitu pemulihan akhlak dan kerohanian, pemulihan psikologi, program-program latihan kemahiran dan vokasional serta pemulihan fizikal.”

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati dan jemputan yang menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati dan jemputan yang menghadiri majlis berkenaan.
Profesor Madya Dr Haji Hashim membentangkan kertas kerja perdana di seminar berkenaan, kelmarin.
Profesor Madya Dr Haji Hashim membentangkan kertas kerja perdana di seminar berkenaan, kelmarin.
Di antara yang menghadiri seminar selama dua hari itu.
Di antara yang menghadiri seminar selama dua hari itu.

Beliau berkata bahawa perkhidmatan seliaan yang diberikan kini memberikan keutamaan sejajar dengan keperluan dan kesesuaiannya dengan Konsep Melayu Islam Beraja yang dihasratkan untuk difahami dan diaplikasikan semasa pelaksanaan program-program pemulihan dan seliaan.

Mengulas mengenai seminar itu, Haji Ismail berkata bahawa Jabatan Penjara berharap seminar itu akan dapat memberikan kefahaman dan perkongsian maklumat terhadap peri mustahaknya penglibatan dan sokongan semua pihak yang berkepentingan terutama sekali ahli-ahli keluarga dan bekas penghuni penjara dalam membantu proses pengintegrasian mereka.

Manakala itu, dalam pembentangan kertas perdana seminar oleh Ahli Urus Setia Majlis Tertinggi MIB, Profesor Madya Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid bertajuk ‘Nilai Melayu Islam Beraja Asas Integrasi Dalam Menangani Persoalan Narapidan dan Rehabilitasi’ beliau menyatakan, “Kita tidak boleh bersikap statik menyatakan bahawa nilai Melayu Islam Beraja itu hanya slogan yang ditayang-tayangkan atau sekadar ristaan warisan, tetapi ia sudah menjadi karakter bangsa Brunei.

“Justeru, ia harus diataskan sebagai agenda primer perjuangan hidup berbangsa dan bernegara. Salah satu peranannya adalah sebagai penawar kepada kemaslahatan masyarakat atau masalah sosial biar apa pun jenisnya dan siapa pun pelakunya.”

Sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan oleh pembentang-pembentang tempatan dan luar negara, semasa seminar dua hari itu di mana pembentangan kertas kerja daripada pelbagai perspektif itu akan dapat membentuk resolusi-resolusi yang memberikan hala tuju ke arah memperkukuhkan penerapan falsafah Melayu Islam Beraja dalam menanamkan nilai-nilai akhlak yang murni dan terpuji bagi membentuk jati diri generasi yang berwawasan.

ARTIKEL YANG SAMA