Semoga Aguero bebas kecederaan – Pellegrini

Semoga Aguero bebas kecederaan – Pellegrini

LONDON, 30 Nov (Reuters) – Manchester City kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dan pengurus Manuel Pellegrini berharap berita gembira itu akan berterusan dengan Sergio Aguero bebas daripada kecederaan.

Aguero terhincut-hincut menahan sakit pada minit ke-63 selepas tumitnya terseliuh ketika menang 3-1 ke atas Southampton di Stadium Etihad yang membawa City ke tangga teratas menerusi perbezaan gol dengan Leicester City.

Pellegrini berkata pemain Argentina itu yang kembali selepas berehat enam minggu dengan masalah hamstring, dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Adalah penting untuk merujuk kepada kakitangan perubatan bagaimana proses pemulihannya, harap ia tidak serius,” kata Pellegrini.

“Saya bercakap dengan Aguero sebelum perlawanan dan kami bersetuju dia bermain selama 65 minit. Tumitnya terseliuh tetapi ia bukan perkara besar.”

Kecergasan Aguero menjadi kunci Pellegrini untuk mengubah nasib selepas minggu penuh trauma buat City.

Selepas tewas 1-4 kepada Liverpool dan 0-1 kepada Juventus pada Liga Juara-Juara selain kebimbangan mengenai jawatannya yang kini dikaitkan dengan, pengurus kelahiran Chile itu jelas sekali perlukan tonik.

Jaringan daripada Kevin De Bruyne, Fabian Delph dan Aleksandar Kolarov membuktikannya. “Ia satu reaksi yang penting,” kata pengurus itu.

ARTIKEL YANG SAMA