Sempadan India-Pakistan bergolak lagi

Sempadan India-Pakistan bergolak lagi

ISLAMABAD, 3 Okt – Tentera Pakistan dan India hari ini berbalas-balas tembakan baru di sempadan de facto mereka di Kashmir, kata tentera Pakistan, susulan serangan militan semalam ke atas kem tentera India yang mana seorang tentera terbunuh.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam pertempuran terbaru, yang berlaku lima hari selepas India mengatakan tenteranya merentasi sempadan untuk menjalankan ‘serangan balas’ di seberang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan wilayah bertikai itu—satu dakwaan yang Pakistan nafikan sekeras-kerasnya.

“Tentera India sekali lagi melakukan tembakan tidak diprovokasi selepas tengah malam di LoC di sektor Iftikharabad dan tentera Pakistan membalas bagi mempertahankan diri,” tentera Pakistan menjelaskan dalam kenyataan hari ini, menambah kejadian berbalas tembakan itu berakhir pada waktu pagi.

Ia juga mengatakan tentera membalas tembakan tidak diprovokasi di sektor Nezapir dan Kailer.

Kejadian itu berlaku selepas militan disyaki menembak sebuah kem tentera di bandar Kashmir, India, Baramulla lewat semalam, membunuh seorang tentera, sebelum dipatahkan.

Seorang askar Angkatan Keselamatan Sempadan (BSF) India berkawal di pos sempadan Chakri, 20km ke Gurdaspur. Pakistan dan India berbalas-balas tembakan hari ini di sempadan susulan serangan militan di kem tentera India yang mana seorang tentera mati. –AFP
Seorang askar Angkatan Keselamatan Sempadan (BSF) India berkawal di pos sempadan Chakri, 20km ke Gurdaspur. Pakistan dan India berbalas-balas tembakan hari ini di sempadan susulan serangan militan di kem tentera India yang mana seorang tentera mati. –AFP

Pegawai polis kanan tempatan, Imtiyaz Hussain Mir hari ini memberitahu media antara dua hingga empat orang militan terbabit dalam serangan yang juga mencederakan seorang tentera.

“Terdapat populasi awam besar di sekitar kem dan disebabkan itulah kami tidak dapat melakukan serangan besar-besaran. Jika tidak, mungkin terdapat kemalangan jiwa awam besar.

Mereka mengambil kesempatan daripada kegelapan dan menggunakan rumah orang awam sebagai pelindung untuk melarikan diri,” katanya.

Ketegangan agak tinggi di rantau itu semenjak pembunuhan seorang pemisah muda Kashmir dalam Julai yang disusuli berminggu-minggu perintah berkurung dan bantahan maut di bahagian kawalan India. – AFP