Sempat selamatkan keluarga

Sempat selamatkan keluarga

Oleh Hajah Saemah Kepli & Yusrin Junaidi

 

KUALA BELAIT, 30 Nov – Sebuah keluarga warga asing berjaya menyelamatkan diri apabila ketua keluarga berkenaan sempat terbangun dalam kejadian kebakaran dalam bilik tingkat bawah rumah sewa mereka di Kampung Mumong, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi, bapa kepada enam orang anak itu memberitahu dia terkejut daripada tidurnya apabila terhidu bau asap, lalu bergegas bangun dan memanggil anak-anak dan isterinya keluar dari rumah.

Seramai 11 anggota bomba bersama tiga jantera pemadan api dengan diketuai oleh Stesen Komander, Zulkeflee telah dikerahkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa singkat sekali gus berjaya mengelakkan api daripada merebak ke bahagian lain rumah separuh kayu terbabit.

Dalam kejadian berasingan, sebuah rumah di Jalan Bunga Kuning, Kampung Jaya Setia Perpindahan Berakas hampir musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.

Keadaan bilik yang terbakar dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kampung Mumong, kelmarin.
Keadaan bilik yang terbakar dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kampung Mumong, kelmarin.

Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati puntung rokok yang ditinggalkan merupakan punca kejadian kira-kira pukul 4:21 pagi itu, dan anggaran kerugian dijangka berjumlah $1,000 serta tiada korban jiwa dilaporkan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, seramai 20 orang anggota Balai Bomba Berakas dan Unit Operasi Wanita bersama empat buah jentera bomba dengan diketuai oleh Penolong Pegawai Balai, Haji Yusri bin Haji Ahmad telah dikerahkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Sejurus tiba di tempat kejadian pihak bomba mendapati api kecil membakar sebahagian daripada salah sebuah bilik tidur dan api berjaya dikawal dalam masa lima minit.

ARTIKEL YANG SAMA