Sempurnakan peletakan batu asas

Sempurnakan peletakan batu asas

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen pagi tadi berkenan berangkat untuk menyempurnakan Peletakan Batu Asas Bangunan Rehabilitasi Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) yang terletak di Kampung Bengkurong.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.

Pemegang Amanah bagi Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan sembah alu-aluannya menjelaskan, kompleks rehabilitasi berkenaan merupakan fasa pertama daripada tiga fasa yang sudah dicadangkan dalam projek Pelan Induk Pembangunan Semula Pusat Ehsan.

Menurut beliau, ia mempunyai komponen-komponen seperti kompleks pendidikan, kompleks pengurusan, dewan serba guna, surau dan taman asuhan.

“Pembinaan komponen-komponen tersebut bernilai lebih daripada $2 juta dengan keluasan 1,600 meter persegi,” jelasnya lagi, sambil menambah ia akan dilengkapi dengan bilik-bilik terapi, kolam terapi dan gimnasium.

YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah semasa berangkat ke majlis tersebut.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah semasa berangkat ke majlis tersebut.
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bagi menyempurnakan Upacara Peletakan Batu Asas.
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bagi menyempurnakan Upacara Peletakan Batu Asas.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan dijunjung bagi menyempurnakan Upacara Peletakan Batu Asas.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan dijunjung bagi menyempurnakan Upacara Peletakan Batu Asas.
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyampaikan cenderahati kepada penaja-penaja.
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyampaikan cenderahati kepada penaja-penaja.

Keluasan kompleks ini akan memudahkan penyusunan alat-alat terapi yang sudah dimiliki oleh pusat berkenaan dan yang akan didapati selepas ini, yang mana, menurutnya, Kedutaan Qatar telah membekalkan beberapa peralatan terapi yang moden serta menyediakan pembiayaan untuk mendapatkan alat-alat baru pada masa akan datang.

Menjelaskan mengenai dana bagi projek pembinaan berkenaan, Haji Ahmad menyembahkan, ia dikumpulkan daripada sumbangan orang ramai dan korporat serta hasil daripada kempen-kempen kutipan dana seperti golf amal, bazar amal dan larian amal.

“Ini adalah termasuk kurnia anugeraha daripada Duli Tuanku, paduka-paduka kekanda Duli Tuanku dan juga bonda Duli Tuanku,” sembah beliau lagi.

Terdahulu daripada itu, beliau menyatakan bahawa Pusat Ehsan adalah antara pertubuhan bukan kerajaan yang membantu kerajaan dalam tanggungjawab sosial kepada orang-orang yang berkeperluan khas.

Katanya, nadi yang memberi nafas kepada kemapanan pusat adalah daripada sumbangan kewangan dan tenaga sukarelawan yang berterusan daripada masyarakat dan sektor swasta termasuk Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang menyumbangkan $50,000 setahun.

Dalam sembah alu-aluannya itu, beliau juga menghargai Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) kerana sejak tiga tahun lepas menyediakan peruntukkan $10,000 setahun bagi tujuan pembinaan keupayaan seperti latihan.

Selain itu, syarikat-syarikat swasta dan individu juga telah tampil dalam membiayai guru-guru dan ahli-ahli terapi pusat ini untuk melanjutkan pelajaran mereka sehingga mencapai sijil Higher National Diploma dan juga menyumbang kewangan dalam Therapist Adoption Scheme, iaitu pembiayaan gaji guru-guru dan ahli-ahli terapi.

Tambahan lagi, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga telah menyediakan tiga orang guru agama, Kementerian Kesihatan mempertingkatkan program bersama dengan pusat ini dan menjadi pakar rujuk dan sumber bagi pusat ini, manakala itu, Kementerian Pendidikan membantu pusat ini dalam pembentukan kurikulum dan piawaian pendidikan khas.

Sementara itu, tambah beliau, Kementerian Pembangunan telah membenarkan pusat berkenaan menduduki tapak seluas 6 ekar bagi pusat ini yang digazet kepada KKBS.

Pada majlis itu, Yang Teramat Mulia turut berkenan menyempurnakan penyampaian cenderamata penghargaan kepada penaja-penaja projek.

Penaja-penaja itu terdiri daripada GHK Motors Sdn Bhd, AES Engineering Sdn Bhd, Bian Hoe Sdn Bhd, Cityneon Display and Construction Sdn Bhd, HSE Engineering Sdn Bhd, Low San Hardware, Matsucon Sdn Bhd, Tony Tan Yu Thong & Family dan TSK Sdn Bhd.

Seterusnya, Yang Teramat Mulia berangkat menyaksikan pameran projek pembinaan blok bangunan rehabilitasi Pusat Ehsan.

Bangunan rehabilitasi ini merupakan fasa pertama bagi Projek Pembangunan Semula Pusat Ehsan yang dijangka siap pada Januari 2017.

Projek akan diikuti dengan fasa kedua iaitu pembangunan dewan serba guna, bangunan pentadbiran, surau, kantin, tempat letak kereta dan kawasan menunggu.

Pusat Ehsan bermula daripada sebuah tadika kecil pada tahun 2000 dan sejak itu, ia terus berkembang dan telah mendapat reputasi positif sebagai penyalur perkhidmatan dan program bagi komuniti berkeperluan khas di Brunei Darussalam.

Ia tercapai hasil daripada dedikasi pemegang amanah, kakitangan, para penaja, penyokong dan komuniti di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA