Semua gelanggang SUKMA sudah sedia digunakan

Semua gelanggang SUKMA sudah sedia digunakan

KUCHING, 15 Julai – Semua 23 gelanggang sudah sedia untuk menganjurkan pertandingan 24 jenis sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di sini, bermula pada 22 Julai ini.

Ia termasuk lapang sasar menembak yang baharu bernilai RM18 juta di Kompleks Sukan Sarawak. Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Kameri Affandi, berkata sistem teknikal yang akan digunakan di lapang sasar menembak itu juga telah dipasang semalam.

“Sistem berkenaan dari Jerman, maka ia mengambil sedikit masa untuk sampai dan dipasang di negeri ini.

“Bagi beberapa sukan seperti skuasy, bola jaring, akuatik dan boling padang, kemudahan baharu yang dibina adalah antara yang terbaik di negara ini,” katanya.

“Justeru, kami menjangkakan atlet dapat menampilkan prestasi pada tahap tertinggi,” katanya kepada media selepas pertandingan ujian kedua temasya itu di Pusat Akuatik Sarawak, di sini, semalam.

Stadium Tertutup Sibu yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Sibu adalah antara gelanggang yang akan digunakan pada sukan SUKMA VXIII Sarawak 2016 bermula 22 Julai  ini. – Bernama
Stadium Tertutup Sibu yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Sibu adalah antara gelanggang yang akan digunakan pada sukan SUKMA VXIII Sarawak 2016 bermula 22 Julai ini. – Bernama

Kameri berkata, kira-kira 6,000 atlet dan pegawai dari seluruh negara dan Brunei akan tiba di Sarawak bermula 18 Julai ini, dan Perkampungan Sukan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga sudah sedia menempatkan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukma ke-18, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, sebelum ini berkata kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM400 juta untuk menaik taraf gelanggang sedia ada selain membina kemudahan sukan baharu.

Beliau juga berkata, tambahan RM50 juta diperuntukkan bagi kos operasi dan penganjuran temasya sukan berkenaan. Morshidi berkata, sebagai tuan rumah, Sarawak akan menyenaraikan 548 peserta, yang terbesar untuk temasya sukan itu, diikuti Selangor dan Perak.

Kebanyakan acara sukan akan berlangsung di Kuching dan Kota Samarahan, manakala Sibu akan menjadi gelanggang acara badminton dan bola tampar, sementara Miri menjadi gelanggang acara karate dan pelayaran.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dijangka merasmikan pembukaan temasya sukan itu di Stadium Sarawak pada 23 Julai, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyempurnakan majlis penutup pada 31 Julai. – Bernama