Semua mangsa bot karam di perairan Pulau Mantanani selamat

Semua mangsa bot karam di perairan Pulau Mantanani selamat

KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) – Semua mangsa bot layar (katamaran) yang karam di perairan Pulau Mantanani di Kota Belud semalam ditemui selamat pagi tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata semua mangsa berjumlah 22 orang (lapan wanita dan 14 lelaki) terdiri daripada 12 pelancong China, empat pemandu pelancong, empat penumpang tempatan lain dan dua kru bot.

“Kesemua mangsa yang berumur 12 hingga 66 tahun ditemui terapung di Tanjung Dudar kira-kira 18 batu nautika dari Kuala Abai, Kota Belud oleh pesawat Cessna dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengalami kesukaran akibat cuaca buruk dan pencarian dilakukan pada waktu malam,” katanya pada sidang akhbar mengenai kejadian itu di sini hari ini.

Bot layar berukuran 39 kaki panjang dan 12 kaki lebar itu dilaporkan rosak dan dimasuki air kira-kira pukul 4:10 petang semalam.

Menurut Mohd Zubil, operasi SAR diaktifkan pada pukul 7:15 malam dengan radius pencarian kira-kira 350 batu nautika persegi.

Katanya, selain Agensi Penguat-kuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan PDRM turut serta dalam operasi tersebut.

“Pada asalnya, laporan kecemasan mengatakan terdapat 18 mangsa. Tetapi apabila juragan bot tersebut menghubungi APMM kira-kira pukul 9.50 malam, dia kata ada 24 orang.

“Kami menasihatkan agar semua mangsa memakai jaket keselamatan dan mencari kaedah untuk menghubungkan mangsa dengan mangsa lain mungkin dengan mengikat tali bagi memudahkan penyelamatan nanti,” katanya.

Mohd Zubil berkata kira-kira pukul 7 pagi tadi, bot APMM Penyelamat 10 telah melihat sebuah bot dipercayai bot layar yang karam kira-kira tiga batu nautika utara sebuah beting dekat Kampung Rampayan Laut tanpa sebarang mangsa dan kira-kira sejam kemudian, PGU PDRM terlihat mangsa di Tanjung Dudar.

“Mangsa dibawa oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) PDRM kira-kira pukul 8:30 pagi tadi ke Jeti Kampung Rampayan Laut di mana APMM mempunyai ‘Forward Observation Base’.