Semua pendaki selamat turun

KUNDASANG, 9 Mac – Semua pendaki Gunung Kinabalu termasuk kakitangan yang bertugas selamat turun dari Laban Rata Resthouse awal pagi ini susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter melanda Ranau pukul 9:06 malam tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, operasi menyelamat tamat kira-kira pukul 4:30 pagi melibatkan 239 orang, termasuk 130 pendaki di resthouse itu di Panalaban pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Panalaban adalah lokasi persinggahan yang mana pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.

Para pendaki bersedia meninggalkan lokasi Taman Kinabalu untuk pulang dengan penutupan sementara pendakian akibat berlakunya gempa bumi sederhana di Ranau kelmarin. – Bernama

“Ekoran gempa bumi tersebut, pihak APM bersama agensi penyelamat lain bekerjasama untuk membantu usaha menyelamat pendaki serta kakitangan bertugas turun dari Laban Rata menuju ke tempat selamat di Timpohon Gate (titik permulaan pendakian),” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tindakan membawa turun pendaki bermula sejak kira-kira 9:40 malam semalam yang dipimpin oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar). – Bernama