Semua penerbangan ikut jadual

Semua penerbangan ikut jadual

KUCHING, 23 Sept (Bernama) – Semua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) setakat 12 tengah hari ini mengikut jadual, kecuali satu penerbangan dari Sibu yang lewat tiba di KIA, kata Pengurus Kanan KIA Mohd Nadzim Hashim.

Katanya penerbangan dari Sibu itu mengalami kelewatan kira-kira 45 minit akibat kabus tebal.

“Penerbangan itu sepatutnya tiba jam 7.50 pagi tetapi hanya tiba jam 8.40 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Mohd Nadzim, jarak penglihatan adalah sekitar 1,200 meter.

Semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mengikut jadual kecuali penerbangan dari Sibu yang lewat tiba di KIA. – Bernama
Semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mengikut jadual kecuali penerbangan dari Sibu yang lewat tiba di KIA. – Bernama

Sementara itu, tiga bahagian di Sarawak terus mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak jam 6 pagi tadi walaupun bacaannya menurun setiap jam.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, Bahagian Samarahan mencatat bacaan IPU paling tinggi iaitu 191 dari 9 pagi hingga 11 pagi tetapi menurun kepada 186 pada 12 tengah hari, diikuti Kuching 171 dari jam 6 pagi hingga 10 pagi tetapi menurun kepada 161 pada 12 tengah hari.

Sri Aman pula mencatat bacaaan IPU 138 dari jam 8 pagi hingga 10 pagi tetapi menurun kepada 133 pada 12 tengah hari.