Semut Api juara futsal

Semut Api juara futsal

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Pasukan Semut Api muncul juara setelah berjaya menewaskan pasukan Semut Bola dengan jaringan 3-1 menerusi sepakan penalti penentuan selepas perlawanan masa sebenar tamat tanpa jaringan pada Kejohanan Futsal Persahabatan 5-Penjuru Semut Yakin 2016.

Dalam kejohanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah berkenaan, pasukan dari Media Permata pula berjaya menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Semut Futsal untuk meraih gangsa selepas gagal melangkah ke perlawanan akhir akibat ditewaskan tipis 0-1 oleh Semut Bola di separuh akhir.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Semut Api telah mengalahkan Semut Futsal dengan jaringan 2-1 menerusi tendangan penalti penentuan setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar perlawanan.

Dua anugerah individu telah turut disediakan dalam kejohanan itu iaitu Pemain Terbaik yang telah dimenangi oleh penjaga gawang Semut Api, Mohd Alfian, yang menyelamatkan satu sepakan penalti lawan pada separuh akhir dan dua tendangan penalti lawan pada final, selain banyak lagi penyelamatan menakjubkan di sepanjang kejohanan.

Nasrul daripada Semut Bola pula diumumkan selaku penerima Anugerah Penjaring Terbanyak kejohanan yang turut disertai RTB dengan catatan tiga gol.

Media Permata ketika menerima Piala Tempat Ketiga daripada Tetamu Kehormat.
Media Permata ketika menerima Piala Tempat Ketiga daripada Tetamu Kehormat.

Kejohanan telah dijalankan secara liga satu pusingan (round robin) terlebih dahulu sebelum diteruskan dengan peringkat separuh akhir dan akhir.

Pada separuh akhir, pasukan di tempat pertama (Semut Api) menentang pasukan di tempat ketiga (Semut Futsal) manakala pasukan di tempat kedua (Semut Bola) melawan pasukan di tempat keempat (Media Permata).

Kejohanan persahabatan sempena cuti awam Tahun Baru Cina itu menyaksikan tiga pasukan terbaik kejohanan dan dua penerima anugerah individu masing-masing telah menerima hadiah berupa piala. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA