Senam Sihat pupuk kesedaran masyarakat

Senam Sihat pupuk kesedaran masyarakat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Sept – Hampir 100 orang dalam kalangan penduduk kampung dan masyarakat sekeliling menyertai acara Senam Sihat anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan B dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait serta Her Fitness Studio yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Hadir sama seterusnya menyertai senaman sihat pada acara itu ialah Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malek bin Haji Abu Bakar serta ahli-ahli MPK tersebut.

Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Abdul Malek menekankan terdapat dua perkara yang sangat membimbangkan dalam kalangan penduduk di negara ini iaitu obesiti dan penyakit Diabetes.

Beliau turut menekankan bahawa baru-baru ini melalui laporan Global Nutrition 2016 telah menempatkan negara ini tempat tertinggi bagi obesiti dalam kalangan orang dewasa di rantau ASEAN.

Manakala itu, hasil kajian status kesihatan dan pemakanan kebangsaan Negara Brunei Darussalam sendiri pula mendapati bahawa tahap peningkatan berat badan berlebihan dan obesiti adalah sangat tinggi, mencapai sehingga 61 peratus orang dewasa.

Hampir 100 orang menyertai acara Senam Sihat yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan.
Hampir 100 orang menyertai acara Senam Sihat yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan.

Sehubungan itu, katanya, majlis senam sihat itu bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar yang juga merupakan salah seorang daripada tujuh orang pemilik Her Fitness Studio, Dayang Azlefah binti Razali memberitahu Media Permata, tujuan mereka mengadakan jerayawara melalui senaman sihat ini adalah untuk menambahkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa senaman bukan saja untuk cantik tetapi lebih daripada itu adalah untuk kesihatan, dan ia bukan menyakitkan bahkan menyeronokkan.

“Kesedaran akan pentingnya senaman sihat ini perlu diberigakan, memandangkan pelbagai penyakit dialami pada masa ini, termasuk turut dialami oleh masyarakat berusia muda, seperti obesiti, diabetes dan sebagainya.

“Sehubungan itu, kumpulan kami daripada Her Fitness Studio mahu orang ramai merasakan bahawa senaman bukan menyakitkan tetapi ia sebenarnya menyeronokkan, di samping dapat bersilaturahim dengan peserta-peserta lainnya,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA